BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, August 26, 2009

Gejala Nevermind Dalam Masyarakat

Sabda Rasulullah s.a.w:
‘Sesiapa yang tidak mengambil tahu tentang keadaan orang islam sesamanya,maka dia bukanlah sebahagian dari kami…’
(Hadis ini adalah hadis dhoif/lemah tetapi ia masih sebuah hadis & boleh digunakan untuk beramal/menggalakkan amal. Ia tidak boleh digunakan untuk berhujjah.)

Nevermind
yang mungkin boleh dianggap sebagai virus yang membahayakan semakin menular dikalangan umat islam masa kini. Virus ini seharusnya dihentikan penebarannya secara drastik dengan menggunakan anti virus the latest version oleh pakar-pakar yang bernama umat islam itu sendiri. Jika pemikiran spesis bervirus begini tidak dihapuskan dari program minda umat islam,ia mungkin akan menghapuskan sensitivity umat islam itu sendiri terhadap sesama muslim. Lalu akan lahirlah umat islam yang dipijak-pijak seperti sekarang ini. Tiada langsung sifat hormat golongan kafir terhadap kita. Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka.

Apabila dikatakan nevermind, kita seolah-olah tidak kisah akan apa yang mungkin terjadi kepada umat islam pada masa kini dan masa akan datang. Apa yang dapat kita lihat ialah,semakin berkurangnya umat islam yang mengamalkan amar ma’ruf nahi mungkar.

Saya terpanggil untuk menulis tentang isu ini apabila saya mendengar satu wawancara antara juruhebah dan seorang jemputan di siaran radio ikim.fm sebentar tadi. Apa yang dapat saya lihat atau mungkin lebih tepat saya dengar,isu ini
memang amat relevan sekali untuk dibincangkan. Buktinya,sejauh manakah kita berusaha untuk menegur jiran-jiran kita yang mungkin telah tersasar jauh dari landasan agama? Contoh yang lebih dekat lagi ialah adik beradik kita dan saudara mara kita sendiri. Jika kita berusaha untuk melakukannya, alhamdulillah, kerana kitalah insan bertuah yang diberi kekuatan oleh Allah. Namun bagi yang belum pernah berusaha, perlu muhasabah diri. Bila lagi kita akan melaksanakan tanggungjawab dakwah ini?

Kita sebenarnya belum berada ditengah-tengah keadaan sebenar masyarakat yang huru-hara seperti pejuang-pejuang yang terdahulu. Contohnya pada zaman Imam Hassan Al-Banna, Syed Qutb dan lain-lain lagi. Jangan cepat berasa ujub jika berjaya berdakwah hanya dua tiga orang sahaja sedangkan beribu-ribu lagi sedang menunggu.Teruska usaha!! Jika kita pergi ke kompleks membeli-belah,apa yang dapat kita lihat ialah ragam-ragam anak muda dgn budaya-budaya songsang yang mungkin dapat saya katakan sebagai keterlaluan dalam berpakaian dan akhlak. "Tidak ada ibu bapakah mereka?"

Kadang-kadang pening juga kalau nak fikir tentang hal begini. Ya! Mungkin kita bukan orang besar untuk memikirkan keadaan ummah yang semakin hari semakin teruk. Tapi ingatlah bahawa diakhirat nanti segalanya akan dipertanggungjawabkan tentang perbuatan yang dilakukan di dunia ini. Setiap manusia itu pemimpin dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Kita juga yang akan ditarik oleh mereka yang tidak kita tegur semasa di dunia ini dan mengatakan bahawa kita tidak berusaha untuk membantu mereka yang telah tersasar.


pelbagai gambar menarik. KLIK SINI

Sabda Rasulullah s.a.w :
Daripada Abu Sa'id al-Khudrie r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa di kalangan kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengantangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranyadia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Bila terfikirkan kembali kehidupan bersama rakan-rakan yang belum berjaya lagi didakwah,terasa diri amat naif. Atas dasar sayang dan ingin membantu, mereka diberi nasihat walaupun diri sendiri belum betul sepenuhnya. WAlaupun kadangkala mereka tidak endahkan kita tetapi hati ini terubat apabila teringatkan Firman Allah yang berbunyi.. ‘ Innaka la yahdi man ahbabta…walakinnallaha tahdi man yasha’…. Sesungguhnya bukan kamu yang memberikan hidayah kepada orang yang kamu sayang tetapi Allah-lah yang memberi hidaya kepada orang yang Dia kehendaki.

Walaubagaimanapun,etika dalam menegur orang dalam setiap keadaan perlu diambil kira juga. Islam menggariskan pelbagai garis panduan didalam keadaan ini. contohnya, tegurlah mereka dengan ‘ bil hikmah wal mau izatul hasanah'. Tegurlah mereka dengan niat yang ikhlas dan bukan kerana nak tunjuk pandai seolah-olah diri sendiri ahli syurga. Tiada istilah siapa pandai dalam diri insan kerana setiap manusia itu bersifat ‘nasia’ yakni pelupa. Jadi ingat-mengingatilah antara satu sama lain. Ibu bapa tegurlah anak mereka, ketua sesama anak buah dan sebaliknya,sahabat sesama sahabat,akhawat sesama akhawat dan ikhwan sesama ikhwan. Insyaallah akan diberi lipatan ganjaran pahala oleh Allah.

Salam mujahadahhhhh...!!!

Cinta Dan Rindu



Berbicara tentang rindu dan cinta, tidak dapat lari daripada soal hati dan rasa. Ya, rindu dan cinta letaknya di hati - raja dalam kerajaan diri manusia.

Sabda Rasulullah saw: "Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati." Riwayat Al-Bukhari

Ini bermakna, rindu dan cinta yang harus bersemi di hati mestilah rindu dan cinta yang ‘baik'. Barulah hati akan menjadi baik, dan seluruh anggota jadi baik. Tapi jika rindu dan cinta itu ‘jahat' maka jahatlah hati. Akibatnya jahatlah seluruh anggota. Kata orang, "berhati-hatilah menjaga hati." Jangan dibiarkan hati itu penuh dengan rindu dan cinta yang salah... akibatnya terlalu buruk.

Umpama menyerahkan kepimpinan negara kepada seorang yang jahat. Kita tentu tahu apa akibatnya bukan? Pemimpin yang jahat akan melakukan kemungkaran, penzaliman, rasuah dan lain-lain kejahatan yang akan menghancurkan sebuah negara. Maka begitulah hati yang jahat, akan menyebabkan seluruh diri kita terarah kepada kejahatan. Jadi, berhati-hatilah menjaga hati dengan berhati-hati memberi cinta dan rindu.

Sebenarnya, pada siapa kita harus cinta? Pada siapa kita mesti rindu? Mungkin ada diantara kita yang tertanya-tanya. Pada kekasih hati? Atau si dia yang sentiasa diingati. Oh, bukan, bukan... Sebenarnya hati setiap manusia secara fitrahnya mencintai dan merindui Allah. Kenapa dikatakan begitu? Dan benarkah begitu? Baiklah, mari kita fikirkan dan renungkan bersama...

Setiap hati inginkan kasih-sayang, keadilan, kekayaan, keindahan dan lain-lain sifat yang mulia, baik dan sempurna. Tidak ada seorang manusiapun yang tidak inginkan kebaikan, kemuliaan dan kesempurnaan. Ketika dilanda kemiskinan, manusia inginkan kekayaan. Ketika dipinggirkan, kita inginkan kasih-sayang. Ketika dizalimi, kita inginkan keadilan. Baiklah, hakikat itulah bukti yang sebenarnya manusia cinta dan rindukan Tuhan. Justeru, Tuhan sahaja yang memiliki segala-gala yang diingini oleh manusia.

Bukankah Allah memiliki kekayaan yang diingini oleh si miskin? Allah mempunyai kasih sayang yang diidamkan oleh mereka yang terpinggir. Allah Maha Adil dan mampu memberi keadilan yang didambakan oleh yang tertindas. Oleh kerana itulah Tuhan mempunyai nama-nama yang baik (Asmaul Husna), yang menggambarkan keindahan, keadilan, kasih-sayang yang segala sifat kesempurnaan-Nya. Diantara nama-nama Allah itu ialah Al Adil (Yang Maha Adil)? Al Ghani (Maha Kaya)? Ar Rahman (Maha Pengasih)? Dan Ar Rahim (Maha Penyayang)?

Sebutlah... apa sahaja keinginan manusia tentang kebaikan dan kesempurnaan, maka di situ sebenarnya (secara langsung ataupun tidak), manusia sedang merindui dan mencintai Allah. Inilah rasa yang tidak dapat dihapuskan. Selagi manusia punya hati dan perasaan. Rasa bertuhan inilah yang menurut Imam Ghazali, tidak akan dapat dinafikan oleh hati sekalipun kerap dinafikan oleh sifat keegoan manusia.

Inilah benih rindu dan cinta yang telah dibina (‘install') secara fitrah (tabie) dalam diri setiap manusia sejak di alam roh lagi.

Firman Allah: "Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi." Al-A'raf : 172

Bahkan, pakar-pakar psikologi manusia juga turut mengakui. Manusia sebenarnya mempunyai keinginan kepada suatu kuasa yang dapat mengatasi segala kekurangan dan kelemahan. Ini memang satu naluri yang semulajadi.

Prof Dr Ramachandran dari California University misalnya, telah menemui ‘Titik Tuhan' - ‘God Spot' dalam sistem otak manusia yang sentiasa mencari makna kehidupan - asal-usulnya, apa maksud kedatangannya ke dunia, dan ke mana akan pergi selepas mati. Dan di hujung semua persoalan itu pasti manusia akan menemui kewujudan Tuhan. Inilah hakikatnya pencarian dan kembara manusia. Inilah asas segala kerinduan dan cinta!

Jadi sedarlah. Apabila hati kita resah dan gelisah inginkan pembelaan, hakikatnya pada ketika itu hati kita sedang merindui yang Maha Adil. Ketika kasih-sayang terputus atau cinta terkandas, kita inginkan sambungan... maka ketika itu sebenarnya kita sedang merindui Ar Rahman dan Ar Rahim (Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang). Ketika bersalah, kita merintih inginkan keampunan dan kemaafan, maka pada saat itu kita sebenarnya merindui Al Ghafar (Pengampun) dan mencintai Al Latif (Maha Lembut).

Semua keinginan itu hanya akan dapat dipenuhi apabila manusia merapatkan dirinya kepada Allah. Allah yang punya segala-galanya itu. Allah sentiasa mahu dan mampu memberi apa yang diinginkan oleh setiap manusia.

Firman Allah: "Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan dimasukkan neraka Jahanam dalam keadaan hina." Al-Mukmin : 60

Menerusi nama-nama Allah yang baik inilah seharusnya kita merintih, merayu dan memohon kepada Allah.

Firman Allah: "Allah memiliki Asmaa' ulHusna, maka memohonlah kepadaNya dengan menyebut nama-nama yang baik itu..." Al A'raaf : 180

Manusia hakikatnya tidak punya apa-apa yang diingini oleh manusia lain. Mereka mungkin mahu memberi, tetapi tidak mampu. Ada pula yang mampu memberi tetapi tidak mahu melakukannya. Mungkin hartawan punya harta, tetapi dia tidak punya sifat pemurah. Mugkin ada si miskin punya hati yang pemurah, tetapi tidak memiliki harta yang dipinta oleh si miskin yang lain. Tegasnya, manusia tidak sempurna. Hanya Tuhan yang mempunyai segala apa yang diinginkan oleh seluruh manusia.

Ya, ditegaskan sekali lagi bahawa keinginan manusia kepada satu kuasa yang Maha sempurna ini adalah lanjutan daripada ‘perkenalan' dan ‘percintaan' manusia dengan Allah di Alam Roh lagi (yakni alam sebelum alam dunia ini) . Bukankah sejak di alam roh lagi manusia telah mengetahui dan mengakui akan kewujudan dan keagungan Allah.

Firman Allah: "Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi." Al-A'raf : 172

Itulah pertanyaan Allah sekaligus keakuran roh manusia atas pertanyaan itu. Ya, ketika itu semua roh manusia telah mengenali Allah. Bukan itu sahaja, bahkan roh manusia telah mengakui Allah sebagai pemilik, pentadbir dan pengatur alam ini. Inilah yang dimaksudkan cintakan Allah itu adalah fitrah setiap hati. Tetapi soalnya, mampukah cinta itu terus suci dan abadi di dalam hati setiap manusia?

Sungguhpun begitu, perkenalan dan percintaan manusia dengan Allah di alam roh itu kerap tercemar. Sebaik sahaja lahir ke alam dunia, manusia yang dulunya begitu mengenali dan mencintai Allah mula dipisahkan daripada kecintaan dan kerinduannya itu. Yang sejati luntur, yang ilusi muncul. Perkenalan dengan Allah mula dicemari. Manusia mula dipisahkan dari Tuhan. Dan amat malang, kerapkali yang memisahkan anak-anak daripada Allah ialah ibu-bapa anak-anak itu sendiri.

"Setiap anak-anak dilahirkan putih bersih, kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani."

Justeru, untuk mengelakkan agar cinta yang suci itu tidak terus dikotori... maka awal-awal lagi apabila seorang bayi dilahirkan, dia terlebih dahulu diazankan dan diiqamatkan. Inilah usaha awal untuk meneruskan perkenalan bayi itu dengan Allah. Tidak cukup sekadar itu sahaja, malah para ibu-bapa juga wajib mengenalkan kepada anak-anak mereka segala sifat kesempurnaan Allah secara mudah tetapi konsisten.

Sabda Rasululah: "Awal-awal agama ialah mengenal Allah."

Alangkah indahnya jika semua itu berjalan lancar. Sejak kecil lagi putik cinta dan rindu Allah itu tumbuh, berbunga dan akhirnya berbuah apabila menjelang dewasa. Malangnya, ramai anak tidak diperkenalkan kepada Allah oleh ibu-bapanya. Sebaliknya, didedahkan kepada unsur-unsur yang melindungi kebesaran Allah. Seringkali, didikan, ajaran, malah lagu, filem, bahan bacaan yang didedahkan kepada anak-anak menggugat perkenalannya dengan Allah.

Akibatnya, kerinduan dan kecintaan yang sedia ada di alam roh itu tidak bersambung, bahkan tercemar. Cinta terputus di tengah jalan. Setiap manusia memiliki hanya satu hati, tidak dua, tidak tiga. Bila cinta Allah dicemari, cinta yang lain datang mengganti. Dua cinta tidak akan berkumpul di dalam satu hati. Hanya satu cinta akan bertakhta di dalam satu jiwa. Bila cinta Allah terpinggir maka terpinggir jugalah segala kebaikan dan kesuciannya. Maka yang tumbuh selepas itu ialah cinta selain Allah seiring suburnya segala kejahatan dan kekejiannya!

Bagaimanakah caranyanya membersihkan semula hati yang telah dicemari dan diracuni? Cukupkah hanya dengan ucapan dan penyesalan? Ya, usaha untuk membersihkan hati adalah usaha yang sukar. Tetapi hanya itulah satu-satunya jalan. Tidak ada jalan mudah untuk mendapat cinta itu semula. Setiap cinta menagih pengorbanan. Begitulah jua cinta Allah.

Sabda Rasulullah: "Iman itu bukanlah angan-angan, bukan pula ucapan, tetapi sesuatu yang menetap di dalam dada, lalu dibuktikan dengan perbuatan."

Perjuangan itu pahit, kerana syurga itu manis. Kecintaan kepada Allah terlalu mahal. Bayangkan untuk mendapat cinta seorang wanita yang rupawan, jejaka yang hartawan, putera yang bangsawan, itupun sudah terlalu sukar, maka apatah lagi untuk mendapat cinta Allah zat yang Maha Agung dan Maha Sempurna itu.

Siapa tidak inginkan kecantikan, harta, nama dan kuasa? Semua itu mahal harganya. Namun semua itu tidak ada nilainya jika dibandingkan dengan cinta Allah - sumber segala kekayaan, kecantikan, kuasa dan keagungan. Cintakan gadis yang cantik, kecantikan akan luntur. Cintakan harta yang banyak, harta akan musnah atau ditinggalkan. Cinta pada kuasa, suatu hari pasti dijatuhkan atau berakhir dengan kematian.

Namun cinta Allah, adalah cinta yang hakiki, sejati dan abadi. Keindahan Pencipta (Khalik) tidak akan dapat ditandingi oleh ciptaannya (makhluk). Keagungan, kekuasaan dan kekayaan Allah akan kekal abadi selamanya. Bila kekasih di kalangan manusia sudah berpaling, maka sedarilah bahawa Allah tetap melihat dengan pandangan rahmat-Nya. Apabila kita mencintai Allah, kita hakikatnya akan memiliki segala-galanya. Inilah cinta yang tidak akan terpisah oleh kejauhan, kematian dan kemiskinan. Sebaliknya bila kita kehilangan cinta Allah, kita sebenarnya telah kehilangan segala-galanya.

Sekiranya kita telah disukai oleh seorang raja, maka anda akan turut disukai oleh pelayan-pelayannya, dikurniakan pangkat, dijamin makan-minum, bebas di bergerak di istananya dan macam-macam lagi kurniaannya. Maka begitulah sekiranya seorang yang mencintai Allah. Para malaikat akan menjaganya. Orang-orang soleh turut mendoakannya. Rezkinya akan dipenuhi dengan segala kecukupan dan keberkatan. Apa nak dihairankan? Bukankah ‘talian hayat' kekasih-kekasih Allah ini sentiasa terhubung kepada satu kuasa yang tiada tolok bandingnya!

Hadis Qudsi: Allah swt berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil. (Sahih Bukhari)

Namun begitu, seperti yang ditegaskan sebelumnya, cinta Allah yang begitu agung dan suci, pasti ada tagihannya. Jalan mencintai Allah tidak semudah yang disangkakan. Sudah adat, setiap yang mahal, sukar mendapatkannya. Bandingannya seperti pasir dengan permata. Pasir, murah harganya... kerana ia boleh dicari di merata-rata. Sebaliknya, permata begitu tinggi nilainya, maka perlu menyelam ke dasar lautan untuk mendapatkannya.

Tidak ada kesukaran, tidak ada ganjaran. Begitulah jua dengan cinta Allah yang hakikatnya jauh lebih tinggi nilainya daripada intan atau permata. Justeru, pasti ada ‘harga' atau mahar yang mahal terpaksa dibayar untuk mendapatkannya.

Untuk mendapat cinta Allah kita perlu berkorban. Cinta dan pengorbanan sudah sinonim dan tidak sekali-kali dapat dipisahkan. Kita perlu membayar harga cinta itu dengan segala yang ada pada kita - masa, tenaga, harta bahkan nyawa. Namun apa yang lebih penting bukanlah masa, tenaga atau sesuatu yang berbentuk lahiriah. Itu cuma lambang sahaja. Yang lebih penting ialah hati di sebalik pengorbanan itu.

Lihat sahaja hati yang dimiliki oleh Habil berbanding Qabil dalam pengorbanannya untuk Allah. Hati yang bersih akan mengorbankan sesuatu yang terbaik untuk Allah. Lalu kerana ketulusan hatinya, Habil mengorbankan hasil ternakannya yang terbaik untuk Allah. Manakala Qabil pula menyerahkan hasil pertanian yang kurang bermutu untuk membuktikan cintanya yang tidak seberapa. Lalu ini menjadi sebab, Allah menolak pengorbanan Qabil, sebaliknya menerima pengorbanan Habil.

Kita bagaimana? Sudahkah kita mengorbankan segala yang terbaik hasil dorongan hati yang baik? Ke manakah kita luangkan masa, usia, tenaga, harta kita yang terbaik? Untuk kebaikan yang disuruh oleh Allah atau ke arah kejahatan yang dilarang-Nya? Tepuk dada tanyalah hati, apakah ada cinta yang mendalam di dalam hati itu?

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH tidak melihat gambaran lahir amalan kamu dan rupa kamu tapi ALLAH melihat hati kamu". Riwayat Muslim

Pengabdian kita kepada Tuhan adalah bukti cinta kepada-nya. Pepatah Arab mengatakan:
"Setiap orang menjadi hamba kepada apa yang dicintanya."

Maksudnya, pengabdian adalah umpama ‘hadiah' yang kita ingin berikan kepada Allah sebagai bukti cinta kita. Ia mesti didorong oleh hati yang bersih. Tidak dicemari riyak dan syirik. Maha suci Allah daripada dipersekutukan oleh hamba-Nya dengan sesuatu. Jika amal itu dicemari oleh kekotoran hati - riyak (syirik kecil), sifat menunjuk-nunjuk, syirik besar - mempersekutukan Allah) maka amalan itu tidak bernilai walaupun ia seluas lautan atau setinggi gunung.

Sebaliknya, jika hati seseorang itu ikhlas, amalnya yang sekecil manapun akan menjadi besar dan bernilai di sisi Allah. Insya-Allah, ‘hadiah' itu akan diterima oleh Allah.

Firman Allah: "Barang siapa yang ingin menemui Tuhannya, hendaklah dia beramal soleh dan tidak mempersekutukan Allah dengan amalannya itu." Surah Al-Kahfi: 110

Hakikatnya Allah Maha Kaya dan DIA tidak mengkehendaki apa jua manfaat daripada hamba-hamba-Nya sekalipun amalan dan kebaikan yang mereka lakukan. Maha Suci Allah daripada bersifat miskin - punya keinginan untuk mendapat manfaat daripada para hamba-Nya. Amalan dan kebaikan yang dilakukan oleh manusia bukan untuk Allah tetapi manfaat itu kembali kepada manusia semula.

Bila kita solat misalnya, solat itu manfaatnya akan dirasai oleh kita juga. Firman Allah:
"Sesungguhnya sembahyang itu akan mencegah daripada kemungkaran dan kejahatan." Surah Al-Ankabut: 45

Ya, solat akan menyebabkan kita terhalang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Itulah manfaat solat. Itu amat berguna kepada diri manusia. Manusia yang baik akan dikasihi oleh manusia lain. Hidup yang selamat daripada kemungkaran dan kejahatan, adalah hidup yang tenang, aman dan bahagia.

Begitu juga apabila Allah menyuruh kita melakukan sesuatu atau melarang kita melakukannya, itu adalah kerana Allah ingin berikan kebaikan kepada kita bukan untuk-Nya. Inilah rasionalnya di sebalik pengharaman riba, arak, zina, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan lain-lain. Susah atau senangnya untuk manusia bukan untuk Allah. Tegasnya, jika patuh, manfaatnya untuk manusia. Jika engkar, mudaratnya juga untuk manusia.

Namun, walau sesukar mana sekalipun kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah, kita akan merasa mudah jika Allah sendiri memberi bantuan-Nya. Jika Allah sudah permudahkan, walaupun seberat mana sekalipun, kita akan mampu mengatasinya. Allah akan permudahkan kita dengan mengurniakan sifat sabar, istiqamah, syukur dan redha kepada-Nya. Lihatlah sejarah perjuangan para Rasul dan nabi serta sahabat-sahabat Rasulullah... kita akan tertanya-tanya mengapa mereka sanggup menderita, tersiksa bahkan terkorban nyawa untuk mendapat cinta Allah?

Renungilah betapa Sumayyah rela mengorbankan nyawanya. Begitu juga Mus'ab bin Umair, Hanzalah, Jaafar bin Abi Talib, Abdullah ibnu Rawahah... mereka semuanya telah syahid di jalan Allah. Apakah itu susah buat mereka? Mereka sangat menghayati apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW:

"Jagalah Allah, nescaya engkau akan temukan DIA di hadapanmu. Kenalilah Allah ketika dalam keadaan lapang nescaya DIA akan mengenalmu dalam keadaan sempit. Ketahuilah segala sesuatu yang luput daripadamu tidak akan menimpamu dan sesuatu yang menimpamu tidak akan dapat luput darimu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu menyertai kesabaran, kelapangan itu menyertai kesempitan dan kemudahan itu menyertai kesukaran." Riwayat Ahmad, Hakim, Thabrani, Ibnu Sunni, Ajiri dan Dhiya'agal

Mereka sesungguhnya merasa bahagia dalam mengharungi penderitaan, merasa mulia dengan mengorbankan nyawa. Ini semua mudah buat mereka kerana Allah telah melembutkan hati-hati mereka. Benarlah bila hendak seribu daya, bila mahu sejuta cara. Kemahuan dan keinginan mereka itu hakikat didorong oleh Allah. Untuk itu, mintalah simpati dari Allah untuk memudahkan kita mendekatkan diri kepada-Nya.

Bagaimana memohon simpati daripada Allah? Tidak lain dengan cara berdoa kepada-Nya. Doa itu adalah senjata orang mukmin. Maksudnya, doa ialah alat atau ubat yang paling mustajab dan mujarab untuk mendapat hati yang lunak dengan Allah. Namun harus diingat, doa bukanlah usaha ‘pemberitahuan' kehendak-kehendak kita kepada Allah ( kerana tanpa diberitahupun Allah sedia mengetahui), namun doa hakikatnya usaha ‘penyerahan' diri kita kepada-Nya.

Orang yang berdoa ialah orang yang mengakui segala sifat kehambaannya di hadapan kekuasaan Allah. Apakah sifat-sifat kehambaan itu? Antaranya, rasa lemah, hina, jahil, miskin, berdosa, hodoh dan segala sifat-sifat kekurangan. Berdoa ertinya kita menyerah pasrah kepada Allah. Kita nafikan segala kelebihan diri. Yang kita akui hanya sifat keagungan dan kebesaran Allah. Lalu kita inginkan hanya bantuan-Nya. Kita tagihkan simpati, kasihan dan keampunan-Nya sahaja.

Hanya dengan mengaku lemah di hadapan Allah kita akan memperolehi kekuatan. Hanya dengan mengaku miskin di hadapan Allah kita akan dikayaka-Nya. Tegasnya, hanya dengan merasai segala sifat kehambaan barulah kita akan mendapat kekuatan, kemuliaan dan kelebihan dalam mengharungi hidup yang penuh cabaran ini.

Bila Allah telah hadiahkan kasih dan rindu-Nya kepada kita, kita akan merasa kebahagiaan dan ketenangan yang tiada taranya lagi. Dalam apa jua keadaan kita akan mendapat ketenagan. Susah, kita sabar. Senang, kita syukur. Kita bersalah, mudah meminta maaf. Jika orang meminta maaf, kita sedia dan rela pula memaafkan. Alangkah bahagianya punya keikhlasan hati yang sebegini?

Itulah hakikatnya syukur - pada lidah, hati dan amalan. Syukur dengan lidah, mengucapkan tahmid (pujian) kepada Allah. Syukur dengan hati, merasakan segala nikmat hakikatnya daripada Allah bukan daripada usaha atau ikhktiar diri kita. Tadbir kita tidak punya apa-apa kesan berbanding takdir Allah. Dan akhirnya syukur dengan tindakan, yakni menggunakan segala nikmat daripada Allah selaras dengan tujuan Allah mengurniakan nikmat itu.

Jika Allah berikan harta, kita gunakan ke arah kebaikan dan kebajikan. Jika diberi ilmu, kita mengajar orang lain. Diberi kuasa, kita memimpin dengan adil dan saksama! Syukur itulah tujuan utama kita dikurniakan nikmat. Ertinya, kita kembalikan nikmat kepada yang Empunya nikmat (Allah).

MEMBINA KUALITI INSAN



Soal pembinaan kualiti insan merupakan satu perkara yang terpenting dalam kehidupan manusia. Tanpa pembinaan kualiti insan, sudah tentu tidak akan wujud kelangsungan kehidupan masyarakat yang bertamadun. Oleh sebab itulah, maka pada hari ini kita menyaksikan program-program pembangunan insan menjadi antara program wajib di segenap peringkat, daripada sekolah sehinggalah ke sektor swasta dan awam.

Kesedaran akan pentingnya proses pembinaan kualiti insan juga telah mendorong banyak pihak untuk menjalankan program-program latihan dan pendidikan ke arah membina kualiti insan. Namun, seringkali latihan-latihan serta program yang dijalankan lebih bersifat ‘superficial’ sehingga program tersebut tidak mampu untuk membina kualiti insan dengan sebenar-benarnya.

Salah satu faktornya adalah kegagalan untuk memahami hakikat manusia itu sendiri serta hakikat kewujudan. Rasanya perlu untuk ditekankan di sini bahawa apabila disebut ‘membina kualiti insan’, maka hal tersebut juga bermaksud melaksanakan usaha dakwah. Hal ini demikian kerana proses asas dalam berdakwah adalah proses membaiki individu; yakni dimulakan dengan diri sendiri, kemudian dengan ahli keluarga terdekat serta orang di sekeliling.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Surah Ar-Ra’d ayat:

“...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri...”.

Sepertimana yang dikupas oleh Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi di dalam tafsirnya, ayat tersebut menjelaskan bahawa permasalahan yang berlaku di dalam masyarakat serta di alam sekitar adalah disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri. Justeru, sudah tentu untuk membaiki keadaan, yang perlu dibaiki terlebih dahulu adalah manusia-manusia itu sendiri.

Inilah metodologi yang telah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah S.A.W; baginda membina kualiti dalam diri setiap individu sehingga generasi para sahabat itu diiktiraf oleh Allah S.W.T sebagai generasi umat yang terbaik (khayra ummah). Sekarang, adalah penting untuk difahami terlebih dahulu hakikat manusia itu supaya pendekatan yang betul dalam aktiviti mahupun program latihan dapat dibuat dengan sebaik-baiknya.

Contoh yang terbaik telahpun ditunjukkan oleh baginda Rasulullah S.A.W, dengan berpandukan kepada panduan yang terbaik yakni Al-Qur’an. Cuma mungkin disebabkan kurangnya kefahaman, maka ramai yang gagal melihat contoh-contoh yang sebenarnya telah ditinggalkan oleh Rasulullah S.A.W untuk diikuti oleh umat Islam pada hari ini. Untuk memahami hakikat manusia itu, maka sudah tentu kita perlu merujuk kepada Yang Maha Mengetahui, yakni S.W.T.

Allah adalah Pencipta segala sesuatu, Dia-lah yang mencipta manusia. Maka, sudah tentu apa sahaja yang diberitakan kepada kita oleh Allah melalui Al-Qur’an adalah yang paling tepat dan paling benar, serta tidak ada yang lebih benar daripadanya.

Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Hijr ayat 28-29, maksudnya:

“Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sungguh Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Maka apabila Aku telah menyempurnakan (kejadian)nya, dan Aku telah meniupkan roh (ciptaan)-Ku ke dalamnya, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.’”

Manusia terdiri daripada dua entiti yakni entiti fizikal dan spiritual. Sepertimana yang dijelaskan oleh Allah di dalam Al-Qur’an, manusia itu diciptakan daripada tanah liat yang hina, kemudian barulah ditiupkan roh ke dalamnya. Manusia bukan semata-mata makhluk fizikal, tetapi manusia juga adalah makhluk spiritual. Apabila hakikat ini gagal difahami, maka apa yang berlaku adalah proses latihan dan pembangunan insan akan hanya tertumpu ke arah memuaskan kehendak fizikal manusia semata-mata. Sedangkan di antara entiti fizikal dan spiritual, yang lebih penting serta lebih mencirikan seseorang manusia itu adalah elemen spiritualnya.

Ayat dalam Surah Al-Hijr di atas menjadi dalil yang cukup jelas. Manusia itu diciptakan daripada tanah liat yang hina. Namun, manusia itu menjadi mulia dengan sebab roh yang ditiupkan oleh Allah ke dalam tubuh manusia itu, lantas diperintahkan kepada para malaikat untuk sujud sebagai tanda hormat kepada manusia. Perhatikan, bahawa para malaikat tidak diarahkan untuk sujud kepada tubuh manusia yang terbina daripada tanah liat itu, tetapi para malaikat hanya diarahkan untuk sujud setelah roh yang mulia ditiupkan ke dalam tubuh badan manusia itu.

Oleh sebab itu jugalah, kita boleh saksikan dengan jelasnya pada hari ini bahawa tubuh fizikal manusia itu ada yang baik, dan ada yang tidak baik. Ada yang elok, ada yang cacat. Sedangkan Allah itu Maha Adil. Hal ini sudah tentu membayangkan kepada kita bahawa keadaan fizikal itu tidak penting. Seandainya fizikal manusia itu penting, sudah tentu Allah menciptakan semua manusia itu dalam keadaan fizikal yang sama, ataupun setidak-tidaknya memberikan pilihan kepada setiap manusia itu untuk menentukan keadaan fizikalnya sendiri.

Begitu juga kalau kita fikirkan, bahawa apabila manusia itu meninggal dunia, keadaan mayat itu ada pelbagai. Ada yang boleh disemadikan dengan baik. Namun, ada juga mayat yang mungkin sudah hancur dek kerana mati dalam kebakaran. Mungkin ada juga mayat yang dibakar sehingga menjadi abu, menurut kefahaman dan kepercayaan sesetengah agama. Mungkin ada juga mayat yang hancur ketika dalam kemalangan. Nah, kalau difikirkan, bagaimanakah proses soal jawab malaikat di dalam kubur itu boleh berlaku seandainya mayat telah dibakar menjadi abu dan tidak ditanam langsung di dalam tanah? Sudah tentu, hal ini menunjukkan bahawa setelah meninggal dunia, elemen fizikal itu langsung tidak penting.

Sebaliknya, yang akan dihadapkan untuk dinilai dan dihisab di hadapan pengadilan Allah adalah elemen spiritual manusia. Hakikat tentang elemen spiritual manusia ini sememangnya tidak mampu untuk diketahui dengan sepenuhnya.

Firman Allah dalam Surah Al-Israa’ ayat 85, maksudnya:

“Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang ruh. Katakanlah, ‘ Ruh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu diberi pengetahuan hanya sedikit."

Walau bagaimanapun, Al-Qur’an dan Al-Hadith telah memberikan manusia dengan panduan dan pengetahuan yang memadai untuk manusia menguruskan dirinya dengan baik serta memenuhi maksud dan tujuan penciptaannya. Di dalam Al-Qur’an, elemen spiritual manusia ini disebut dengan beberapa istilah penting, seperti al-qalb (hati), an-nafs (jiwa), ar-ruh (roh) dan al-‘aql (intelek). Elemen-elemen spiritual itulah yang penting untuk dibangunkan terlebih dahulu kualitinya.


Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi turut menyebut di dalam tafsirnya bahawa segala tindak tanduk anggota tubuh manusia berpunca daripada jiwa yang baik. Apabila jiwa manusia berkualiti, maka segala perilaku dan tindakan manusia itu juga akan menjadi berkualiti. Namun, jika sebaliknya jiwa manusia itu tidak berkualiti, maka sudah tentu tindakan serta perilakunya juga turut menjadi tidak berkualiti.

Penerangan ini selari dengan apa yang telahpun dinyatakan oleh Rasululla. Justeru, apa yang penting dalam proses membina kualiti insan adalah membina kualiti spiritual seseorang insan itu. Nah, berdasarkan beberapa ayat Al-Qur’an, termasuklah ayat yang telah dinyatakan di atas, kita memahami bahawa roh manusia itu adalah suci dan mulia. Maka, mengapakah perlu dilakukan pembinaan kualiti spiritual?

Jawapannya, kerana spiritual manusia itu telah dikotori dan dikurangi kualitinya kerana sikap dan tindak tanduk manusia itu sendiri. Dalam salah sebuah hadithnya Rasulullah ada menyebut bahawa setiap bayi yang lahir itu adalah ibarat kain putih yang bersih; keadaan ini sudah tentu menggambarkan keadaan spiritual setiap bayi yang berada dalam keadaan fitrah. Keadaan fitrah spiritual setiap manusia itu adalah keadaan yang berada dalam ketaatan serta pengabdian yang menyeluruh kepada Pemiliknya, yakni Allah.

Firman Allah dalam Surah Al-A’raaf ayat 172, maksudnya:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman): ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’ Mereka menjawab, ‘Betul (Engkau Tuhan kami), kami bersaksi.’...”.

Semua roh manusia ketika berada di alam roh dahulu telah bersaksi dan mengakui bahawa Allah itu adalah Tuhan. Persaksian itu bermaksud tunduk dan patuh kepada segala aturan, arahan dan ketetapan Allah. Walau bagaimanapun, manusia itu pelupa. Dalam Al-Qur’an, manusia turut digelar insaan. Istilah insaan dalam bahasa Arab berasal daripada kata akarnya yakni nasiya yang bermaksud ‘lupa’. Apabila menjalani kehidupan di dunia, manusia lupa akan perjanjiannya.

Namun, Allah yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang itu mengutus di kalangan manusia para rasul beserta kitab-kitab untuk mengingatkan manusia. Namun, harus difahami juga bahawa kehidupan di dunia ini adalah satu ujian daripada Allah untuk para hamba-Nya. Maka, manusia diberikan pilihan sama ada untuk mengikuti panduan dan membaiki kualiti spiritualnya, atau untuk terus mengotori dan merosakkan kualiti spiritualnya.

Firman Allah di dalam Surah As-Syams ayat 7-10, maksudnya:

“Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.”

Jelas bagi kita, yang paling penting dalam membina kualiti insan adalah membina kualiti spiritualnya terlebih dahulu. Pembinaan kualiti spiritual sudah tentu adalah dengan cara mengembalikan jiwa itu kepada keadaan fitrahnya yang sangat mulia itu. Hal ini bermaksud, mengembalikan jiwa kepada pengabdian yang menyeluruh kepada Allah.

Untuk melaksanakan hal tersebut, antara pra-syarat terpenting adalah ilmu. Ilmu yang dimaksudkan pula, sudah tentu adalah ilmu yang paling penting yakni ilmu ‘aqidah. Pemahaman dan pegangan terhadap ‘aqidah yang benar akan membolehkan seseorang itu melaksanakan ‘ibadah, yakni pengabdian kepada Allah, dengan benar dan baik.

Oleh sebab itulah Imam Ghazali r.a. pernah menyatakan: “Tidak sah sesuatu ‘ibadah, melainkan setelah mengenali Yang Disembah (Tuhan).” Itulah yang terpenting dalam melaksanakan program-program latihan. Yang harus diutamakan adalah pembinaan jiwa, pengukuhan hubungan dengan Allah sebelum pengukuhan hubungan dengan manusia dan alam.

Akhirnya, adalah penting untuk ditekankan bahawa pembinaan kualiti insan, yang berpandukan kepada pandangan alam Islam yang benar, haruslah dilaksanakan dengan meletakkan kehidupan di alam abadi sebagai matlamat. Kehidupan di dunia ini hanyalah seketika, dan hanyalah diciptakan semata-mata sebagai tempat persinggahan sementara untuk manusia mencari sebanyak mungkin ruang dan peluang untuk mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, seterusnya meningkatkan kualiti spiritualnya untuk dihadapkan kepada-Nya kelak.

Pembinaan kualiti insan yang bertujuan untuk hal dunia ini semata-mata pasti akan menimbulkan keadaan yang tidak harmonis kerana, sepertimana yang telah disebut tadi, jiwa manusia yang fitrahnya adalah untuk mengabdikan diri semata-mata kepada Allah pasti akan memberontak. Pembinaan kualiti insan yang memfokus kepada elemen fizikal semata-mata pasti sia-sia; kerana sepertimana yang telah disebutkan juga, elemen fizikal manusia bukanlah yang terpenting.

Firman Allah dalam Surah As-Syu’ara ayat 88-89, maksudnya:

“(yakni) pada hari (ketika) harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.”

Maaf di atas segala kekurangan di dalam penulisan yang serba lemah ini. Sesungguhnya, Allah jua yang Maha Mengetahui.





Rujukan: * Al-Qur’an dan terjemahannya. * Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi. “Tafsir Sya’rawi” * Syed Muhammad Naquib Al-Attas. “The Nature of Man and The Psychology of The Human Soul”

Islam dan Hiburan


Naluri Manusia

Allah itu Maha Berkuasa sifatNya. Memang tidak dapat disangkal akal lagi akan sifatNya itu. Dalam setiap kejadian yang diaturiNya, pasti ada keindahanNya tersendiri. Setiap kejadian susunan Allah, ada nur disebaliknya. Setiap penciptaan ada haknya tersendiri. Islam ini adalah agama yang syumul. Ya, sebuah agama yang 'perfect' untuk setiap manusia.

Setiap manusia di muka bumi ini, ada naluri tersendiri. Pelbagai jenis naluri yang timbul dari dalam manusia yang nun jauh tersembunyi di lubuk hati setiap manusia. Naluri ingin memiliki rumah bagaikan istana tersergam megah di tepian pantai yang indah, Naluri ingin memiliki isteri yang cantik, tidak jemu dipandang mata dan menyejukkan hati, Naluri yang ingin memiliki harta setinggi Gunung Kinabalu agar dapat dibelanjakan di jalan Allah, Naluri ingin berpesta dan berpoya dengan iringan muzik-muzik yang mengasyikka..Ya, terlalu banyak jika hendak disenaraikan, apa yang naluri manusia inginkan.

Seperti firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 14;

"Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)."

Dari ayat di atas, Allah yang Maha Mengetahui itu sudah tahu apa yang diingini oleh setiap manusia yang diciptaNya. Oleh itu, Allah menjadikan agama Islam itu sendiri agama yang tidak menolak naluri manusia. Agama yang bersesuaian dengan naluri manusia.

Allah menegaskan dalam firmanNya pada surah Al-A'raf ayat 32;

"Katakanlah: "Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang Telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?" Katakanlah: "Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat." Demikianlah kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi orang-orang yang Mengetahui."

Lihatlah, Allah menjadikan perhiasan di dunia ini yang amatlah bertepatan dengan naluri manusia. Namun, atas kebijaksanaan Allah, maka, Allah menjadikan batas-batas untuk setiap naluri manusia itu. Kenapa Allah menetapkan batas-batas berkenaan?, sedangkan Allah telahpun mengetahui akan kehendak dan naluri manusia itu sendiri? Itulah yang menunjukkan Allah itu Maha Mengetahui, jika tiada sekatan serta batasan yang terkandung dalam buku perintah Allah itu, nescaya, ramailah manusia-manusia yang menuju ke arah kerosakan.

Islam dan Seni Hiburan

Allah tidak melarang kita untuk berhibur. Selagi hiburan itu tidak mendatangkan kelalaian dalam kehidupan kita, maka, hiburan itu perlu. Tanyalah mana-mana ustaz di dalam dunia ini, Apa hukumnya berhibur? Pasti akan keluar jawapan seakan-akan begini, "Berhibur? Dalam Islam berhibur itu boleh selagi tidak melanggar syariat, tidak melalaikan dan tidak menjerumus kepada kemaksiatan" Perkembangan dunia hiburan dalam Islam berkembang luas selepas berkembangnya empayar-empayar Islam menguasai dua pertiga dari bumi ini.

Ketika zaman sebelumnya, umat Islam ketika itu kurang mengambil bahagian dalam hiburan kerana masing-masing mempersiapkan diri untuk melebarkan agama Allah dan memperluaskan empayar Islam. Apabila empayar Islam sudah merebak luas, maka, pertembungan budaya dengan empayar-empayar lain seperti empayar Parsi, Empayar India, Empayar Rome dan sebagainya terjadi. Akibat pertembungan empayar inilah, seni hiburan mula menular dalam hati nurani umat Islam ketika itu.

Seni hiburan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ia semakin tersebar luas dengan sendirinya dari hari ke hari. Selepas seni hiburan semakin kukuh dalam naluri manusia di saat itu, bermulalah episod kesedihan yang sangat tragis dalam sejarah Islam. Empayar-empayar Islam mula roboh satu demi satu, seperti robohnya rumah yang dimakan anai-anai. Islam mula jatuh disebabkan manusia melebihkan seni hiburan itu dari syariatNya.

Tersebarnya seni hiburan itu sehingga hari ini dan tika ini. Seni yang dahulunya hanya dijadikan halwa telinga semata-mata, kini, bagaikan darah daging manusia. Umpama oksigen untuk tubuh badan manusia. Manakan tidak sebagai oksigen, kerana hiburan itu sendiri sudah menjadi sumber pencarian rezekinya.

Terlalu tinggi rasanya saya mendefinisikan seni sebagai oksigen dalam menggambarkan betapa perlunya seni hiburan itu dalam setiap tubuh-tubuh manusia masakini. Manakan tidak, ada sahaja manusia yang sanggup melafazkan ayat sebegini, "Ya Allah, mati kebosanan la aku macam ni dah la TV tak der, radio pun tak der!" Bayangkan! tanpa hiburan, dia boleh MATI KEBOSANAN!




Cubalah kita perhatikan hiburan di zaman ini. Dari hiburan yang tertutup seperti disco, pub, pusat karaoke, kelab malam dan sebagainya sehinggalah hiburan yang dianjurkan secara terbuka; Konsert Jom Heboh, pesta muda-mudi, realiti TV, seperti Akedemi Fantasia, Mentor, One in a Million dan sebagainya lagi. Begitu banyak bukan? Jika hendak dihitung, entah bila akan kesudahannya. Sehinggakan dalam perlaksanaan hiburan sebegini menelan belanja jutaan ringgit sekalipun, ianya akan tetap dijayakan!

Sampai begitu sekali bahana seni hiburan masa kini. Ya, hiburan masa kini..yang terlalu jauh membawa pergi roh-roh Islam ke dalam hati dan naluri manusia. Seni-seni hiburan ini bagaikan kanser didalam badan manusia. Dimana ia semakin merebak dan memusnahkan anggota badan yang lain sedikit demi sedikit. Bermula dengan 'hiburan ringan-ringan' seperti nasyid, kerana terlalu banyak lagu-lagu yang ber'title'kan nasyid menyampaikan mesej berbentuk kecintaan adam dan hawa, menyebabkan hati yang lemah mula berubah ke arah lagu yang mendayu-dayu. Seperti kata anak muda kini, 'lagu meleleh-leleh' atau 'lagu jiwang karat'. Kemudian, naluri semakin advance, dendangan lagu-lagu tajaan Barat mula menjadi suntingan. Nyanyian masih lagi 'jiwang karat', namun liriknya semakin ke'barat'an. Nyanyian BackStreet Boys, N'sync dan boy band lain mula menjadi siulan harian. Apabila hati sudah memuja penyanyi-penyanyi sedemikian, kekabusan kegelapan menyelubungi hati, bermulalah kekerasan hati yang membawa kearah lagu-lagu bersifat keras! Punk, Skin Head, Black Metal dan lain-lain mula bertakhta dihati manusia. Maka terjadilah ritual-ritual yang menyesatkan akidah! Astaghfirullah!!. Atas dasar seni hiburan sebeginilah, maka produktiviti manusia semakin merosot dan menjunam ke bawah.

Kerana hiburan inilah, seorang pelajar tidur lambat untuk mengundi peserta kegemarannya dalam rancangan Mentor, seterusnya menyebabkan dia kurang fokus di sekolah kerana mengantuk. Kerana hiburan inilah, seorang pekerja lewat ke tempat kerja, kerana bangun lambat selepas semalaman melihat konsert Jom Heboh. Kerana hiburan inilah, seorang mahasiswa 'terpaksa' ponteng kelas untuk beratur panjang demi memperolehi tiket bola perlawanan Malaysia menentang Manchester United. Kerana hiburan inilah, seorang isteri 'terlupa' masak untuk suaminya yang baru pulang dari kerja kerana kesedihan melampau melihat Diari Akademi Fantasia. Kerana hiburan sebeginilah, seorang anak mengingkari arahan ayahnya dan melewat-lewatkan solat Maghrib kerana menonton rancangan Sin Chan dan dituruti rancangan Doraemon di kaca TV. Kerana hiburan inilah, seorang remaja perempuan hilang sifat malunya kerana bersesak-sesak dalam gerombolan manusia ketika menonton konsert Jason Mraz suatu ketika dahulu. Kerana hiburan inilah, sepasang remaja hilang pertimbangan agamanya ketika menonton tayangan wayang 'Drag Me To Hell' atau 'Angels and Demons' dalam kegelapan sehinggakan mereka 'membuat wayang' mereka sendiri kerana kebosanan jalan ceritanya. Kerana hiburan inilah, seorang pelajar telah mengkianati amanah seluruh umat Islam apabila dengan duit zakat yang diperuntukkan untuknya menuntut ilmu, telah dibelanjakannya untuk membeli CD terbaru 'Laskar Pelangi'. Kerana hiburan inilah, seorang pemimpin membelanjakan harta anak-anak yatim, harta ibu-ibu tunggal, harta para musafir di jalan Allah dan harta-harta orang fakir dengan menaja Formula 1, mendirikan Litar Perlumbaan Sepang bertaraf dunia dan menubuhkan Malaysian Philharmonic Ochestra. Kerana hiburan inilah, seorang remaja lelaki bertubuh sasa leka menyanyikan lagu 'Jai Ho' dari iPodnya sambil duduk di seat dalam komuter sehingga 'tidak nampak' seorang ibu yang sarat mengandung sedang berdiri dihadapannya kerana tidak memperolehi tempat duduk. Kerana hiburan inilah, sekumpulan manusia 'terlepas' solat Maghrib kerana tayangan Tansformer 2: Revenge of The Fallen bermula pada pukul 1910 dan memperolehi tempat duduk nun jauh dibelakang. Kerana hiburan inilah, seorang lelaki sanggup meninggalkan solat berjemaah di masjid atau surau kerana ingin menonton tayangan Nur Kasih dan Ceplos di TV.

Tangani Masalah Seni Hiburan

Cuba kita lihat, betapa banyaknya keburukan dalam seni hiburan ini. Justeru, hendaklah kita bersama-sama mengembleng tenaga untuk merubah gejala negatif agar menjadi positif. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam! Esok, insyAllah lebih baik dari hari ini.

Terdapat banyak cara untuk kita semua berusaha menangani masalah seni hiburan ini. Antaranya adalah:

i) Solat hiburan UTAMA

Seperti sabda Nabi Muhammad SAW kepada Bilal, "Tenangkan dirimu ketika solat ya Bilal". Cuba kita lihat, Rasulullah SAW berpesan kepada Bilal, jika mahukan ketenangan, jadikan solat itu sebagai caranya. Bukan dengan mendengar lagu-lagu yang mengasyikkan atau melancong ke tempat-tempat peranginan yang mendamaikan.

ii) Majlis hiburan yang tidak melalaikan

Dalam bab ini, ada sedikit pujian dari saya buat kerajaan Selangor sekarang. Kenapa? Dahulu, kawan saya ada pergi 'satu majlis' anjuran kerajaan Selangor di Stadium Melawati. Berdasarkan ceritanya, program hiburan itu menarik kerana susunan majlisnya. Bermula dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan solat Hajat dan sedikit tazkirah. Kemudian Solat Isyak berjemaah. Selepas selesai, MB Selangor memberikan
sedikit ucapan dan konsert nasyid berlangsung selepas itu. Yang menarik perhatian saya, sekurang-kurangnya, konsert itu tidak menyebabkan pengunjung melewat-lewatkan atau 'terlepas' untuk bersolat.

iii) Tiada percampuran lelaki dan perempuan

Kalau yang ini pula, saya memuji pucuk pimpinan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan. Tanpa perlu saya bercerita panjang, rasanya sudah ramai yang mengetahui akan konsert-konsert yang diadakan di Kelantan. Bagaimana pentadbir-pentadbir Kelantan memisahkan pengunjung lelaki dan perempuan agar tiada pergaulan bebas ketika konsert berlangsung.

iv) Tanam kesedaran Islam dalam Artis

Kalau artis-artis ini mula memahami Islam, Tiada sudah penyanyi-penyanyi wanita selepas ini. Bukankah Islam melarang wanita melunak-lunakkan suara untuk yang bukan 'selayaknya'. Jika artis-artis mula mengenali Islam, sudah pasti tiada lagi lakonan-lakonan 'bermutu' artis-artis Malaysia ketika berlakon. Kalau itu yang Islam mahukan, kenapa perlu dipersoalkan lagi? Adakah kerana kita mahukan seni hiburan itu, maka maksiat tidak dapat dipisahkan lagi? Banyak lagi seni hiburan yang terhidang diluar sana yang halal, terpulang pada kita untuk memilihnya atau menolaknya. Ada sahaja drama-drama berunsurkan islamik dari dahulu lagi.

**Nota - Pada hari Jumaat lepas, aman sedikit terkilan dengan rancangan TV3, Nur Kasih. Apabila dalam dialog artisnya itu, terdapat ayat sebegini. Seorang artis berlakon sebagai minah saleh menegur kawan perempuannya ketika hendak membuat keputusan berkahwin. "why you choose him, you are not Malay or ISLAM, so whay you want to marry him?" selepas itu dibalas oleh pelakon wanita itu dengan jawapan selambanya, "So what if i'm not Malay or Islam, but I love him ok?" Astaghfirullah.**

v) Pemantauan dan penguatkuasaan pentadbiran

Dalam hal ini, kerajaan patutlah menghadkan lesen-lesen pembukaan disko dan pusat hiburan serta memantau operasi sebegini secara berterusan agar kemaksiatannya boleh dicegah. Bajet untuk sektor hiburan hendaklah dikurangkan agar dapat digunakan pada saluran yang lebih memerlukan. Realiti-realiti televisyen dalam mencari bakat-bakat baru hiburan perlulah dikurangkan sebaliknya diganti dengan realiti TV yang mencari bakat-bakat baru dalam bidang yang dapat memberi kebaikan kepada manusia, negara dan Islam itu sendiri seperti bakat dalam mencipta sesuatu yang baru.

vi) Sistem pendidikan yang berkesan

Bagi saya, inilah sumber tunjang dalam merubah sesuatu. Sistem pendidikan yang berkesan bagaikan jantung kepada tubuh badan kita. Jika jantung itu berfungsi dengan baik dan tiada cacat celanya, bekalan darah dapat dihantar ke setiap anggota badan yang lain. Bekalan oksigen dalam darah, dapat dipam dan dihantar dengan tertib kepada otak kita. Jika pendidikan dijalankan dengan betul dan mengikut syariat pada landasannya, nescaya insyAllah, semua masalah yang ada sekarang, pasti dapat dihindari dan ditangani. Lagipun, jika kita hendak membentuk sesuatu ketamadunan seseorang, mestilah bermula ketika mereka masih kecil lagi. "Meluntur buluh biarlah dari rebungnya" InsyAllah, jika kita semua memperbetulkan seni hiburan ini, nescaya tidak mustahil jika suatu hari nanti, seni hiburan dapat merubah wajahnya dari melalaikan dan membinasakan kepada suatu kebudayaan yang menjadi jati diri kita disamping menjadikan kita semakin mengingati Allah dan RasulNya.

4 Golongan lelaki yang ditarik perempuan ke neraka


AMARAN!!
4 Golongan lelaki yang ditarik perempuan ke neraka :


Pertama:- Ayahnya

Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak memperdulikan anak-anak perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji dan sebagainya.dia hanya memberi kemewahan dunia pada anak - anaknya dan membiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat,bergaul bebas,dan sebagainya..... maka dia akan ditarik oleh anaknya.


Kedua:- Suaminya
Apabila seorang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yang bukan mahram, apabila suami mendiam diri......walaupun dia seorang alim (solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal) maka dia akan ditarik oleh isterinya ke neraka di akhirat kelak.


Ketiga:- Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke pula abang-abangnya.....jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan tidak mengambil berat tentang urusan agama adik perempuannya dan membiarkn mereka terus melencong dari ajaran ISLAM ....tunggulah tarikan adiknya nanti di akhirat.

Keempat:- Anak Lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yang haram dari islam,membiarkan ibunya terus melakukan kelakuan tersebut sedangkan dia tahu tentang hukum perbuatan tersebut haram dalam islam..maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak ...... nantikanlah tarikan ibunya. Maka kita lihat bertapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat ... maka kaum lelaki yang bergelar ayah / suami / abang atau anak harus memainkan peranan mereka yang sebenar.



Firman ALLAH S.W.T. :


"HAI ANAK ADAM PERIHARALAH DIRI
KAMU SERTA AHLIMU DARI API
NERAKA, DIMANA BAHAN
PEMBAKARNYA IALAH MANUSIA DAN
BATU-BATU....."












Wahai wanita,
kasihankanlah ayah anda, suami anda, abang-abang anda serta anak-anak lelaki anda... Kasihanilah mereka dan diri kamu sendiri......
Jalankan perintah ALLAH S.W.T. dengan bersungguh-sungguh dan dengan ikhlas.. Sesungguhnya apa yang telah Allah tetapkan itu amat baik buat diri anda semua
..

PALESTIN, BELAS KASIHAN & KEADILAN

Konflik Israel-Palestin tidak putus-putus menjadi bumbu perbincangan dan perdebatan khalayak. Begitu juga dengan aneka masalah lain yang melanda umat - kemiskinan, penindasan, dan bencana alam.

Manusia suka sekali menghulurkan pelbagai macam analisis dan pendapat, tetapi tunggu sekejap.. adakah kita terlalu banyak berfikir, mencari keadilan mutlak agar tidak tersilap walaupun sepatah fakta, sehingga lupa atau seperti sengaja berlengah-lengah untuk bertindak?

Adibah Abdullah, pelajar Tahun Dua The University of Manchester dalam jurusan Perubatan,yang juga salah seorang penulis jemputan iLuvislam.com, berkongsi buah fikirannya.

Minggu ini “Solidarity with Palestine Week”, anjuran Action Palestine, University of Manchester. Setiap hari ada aktiviti untuk menyedarkan massa tentang malapetaka kemanusiaan yang bermaharajalela di bumi Zaytun sana. Dokumentari, perbincangan, ceramah, tayangan filem, hampir semuanya berkisar tentang penderitaan pribumi Palestin yang ditenyeh-tenyeh oleh penjarah Israel dan dilayan di luar tatacara manusiawi.

Setakat ini saya hanya sempat menghadiri tayangan dokumentari Occupation 101 tentang ‘realiti penjajahan Palestin’ dan ceramah Chestdoc in Palestine oleh doktor-doktor yang menghabiskan beberapa minggu di sana. Realiti yang sudah lama saya tahu, namun imejan dan penghuraian itu mencetuskan ledakan emosi (dan rasionaliti) yang segar buat saya. Sungguh, tahu dan sedar itu banyak benar bezanya!


Cebisan-cebisan Realiti Palestin

Saudara-saudara di Palestin dirampas hak mereka sesuka hati, sempadan negara mereka diperkosa oleh sekumpulan bangsa yang mulanya hanya mengemis secebis tanah. Tembok Apartheid setinggi lapan meter dan sejauh 703 kilometer meredah perkampungan dan ladang-ladang zaitun yang menjadi lambang sara hidup masyarakat tani Palestin. 16% rakyat Palestin terperangkap di sebalik tembok, terpisah daripada rakan senegara, tanah air dan mata pencarian mereka.

Dr Asad berkisah tentang pencabulan hak penjagaan kesihatan. Ibu mengandung sampai bersalin di checkpoint, pesakit meninggal di checkpoint. kerana disekat daripada ke hospital. Dalam Israel sendiri, ketidakadilan membusuk. 60 perkampungan Arab di Negev tidak diiktiraf oleh kerajaan, dinafikan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, dengan kadar kematian bayi yang memuncak.

Kanak-kanak turut dimangsai. Dunia dan keluarga mereka dipunahkan. Tempat bermain tidak ada. Di sana-sini ada runtuhan bangunan, pagar-pagar dan askar yang berkawal. Sungguh membingungkan, kanak-kanak yang hanya bermain juga dihunjam peluru Israel! Tambah menggusarkan, cekupan undang-undang Israel tidak melepaskan kanak-kanak. Defence of Children International melaporkan tentang tahanan kanak-kanak yang diseksa, dipisahkan terus daripada keluarga, dan dipenjarakan 10-20 tahun hanya kerana melontar batu!

Tekanan jiwa melanda mereka ini yang didera trauma, tiada tempat bermain dan terkurung di dalam rumah. 98% kanak-kanak di Gaza dilaporkan mengalami kesan psikiatri dan psikologi yang serius. Seperti yang diungkapkan dalam laporan United Nations Reliefs and Works Agency (UNWRA), “…kanak-kanak sudah tidak pandai lagi untuk bermimpi.”


Seimbang dan Adil?

Selepas dokumentari Occupation 101 kehangatan bermula apabila seorang lelaki menyuarakan bahawa dokumentari itu “…one-sided, doesn’t portray the whole story.” Kenyataannya disambut dengan marah oleh sebahagian hadirin. Salah seorang daripada mereka berkata,

“If I rob your house, take your land, and kill your mother, that will be your side of the story.”

Ganas kedengarannya, bukan?

Saya biasa menyaksikan penghujahan seumpama ini apabila menghadiri program pro-Palestin sekitar universiti. Seringkali ada yang mempersoalkan pemaparan yang tidak adil dan berat sebelah. Menggesa pengkajian lanjut supaya situasi sebenar difahami dengan lebih tepat. Seorang rakan sekuliah terang-terangan merasakan derita Palestin adalah hasil konspirasi Arab, ilusi untuk mensabotaj Israel. Katanya, saya perlu membaca lebih banyak bahan daripada pelbagai pihak, jangan percaya semua yang diberitahu kepada saya, dan capai kesimpulan yang lebih tepat (menjadi pro-Israel seperti dia). Seperti sesetengah pihak yang menafikan kenyataan golongan pro-Palestin, dia juga mendakwa berpengalaman ke Israel. Aduh, sahabat. Melawat Israel dan menikmati layanan ‘pelancong’, dilindungi daripada ‘pengganas Palestin’ (dan dikawal daripada melihat ‘kampung sebelah’) oleh pihak militari jauh bezanya daripada menziarahi Palestin dan mengecap pahit zaitun mengkal yang dicantas dari pohon!

Banyak intelektual skeptik yang sentiasa mempersoalkan keadilan dan ketepatan satu-satu konsep secara akliah. Fikir, debat, fikir, debat. Mahu menanggapi situasi dengan kefahaman akal yang paling tepat, supaya nanti tidaklah tersilap menyokong orang Palestin kalau sebenarnya orang Israel yang mengucur darahnya dibedil Apache, kalau sebenarnya rumah-rumah Israel yang dilatam jentera sampai menjadi puing-puing separuh terbakar. Betul, tidak salah pun.

Tetapi ia menjadi salah dan songsang apabila memburu keadilan dan ketepatan secara akliah itu lebih diagungkan daripada memartabatkan kemanusiaan. Jangan sebut golongan hakim dan penguatkuasa – mahkamah dan alam maujud di luarnya adalah dunia yang berbeza. Dalam kehidupan yang berjungkir balik dan bertompokan ruang-ruang kelabu yang payah dicerakinkan, kemanusiaan wajib dijulang.

Kemanusiaan adalah satu-satunya hukum yang dapat membawa manusia ke arah persetujuan bersama. Keadilan sering relatif jika dipandang daripada pelbagai perspektif, bergantung pula kepada maklumat yang diperoleh dan pentafsirannya. Seperti dokumentari yang dikritik tadi, bukankah memang patut ia berat sebelah, punya fokus yang jelas, kerana matlamatnya untuk mengujakan hati, menggerakkan manusia untuk bertindak. Sekiranya ia memaparkan hujah-hujah yang berbeza, masing-masing akan memansuhkan sesama sendiri, menyebabkan khalayak tambah was-was, tambah banyak menghabiskan masa menganalisa.

Sudahnya, sibuk menganalisis informasi, berdebat sana sini, berpijak tidak di atas bumi, masalah terus menanah memeri! Seperti intelektual hari ini yang galak mendiskusikan masalah umat sesama mereka. Pelik, sekumpulan intelektual – politikus, peguam, ekonomis, sosiologis – memperdebatkan perihal orang-orang kampung dan marhaen, menerbitkan doktoral dan kajian untuk menampakkan betapa mereka peduli masalah rakyat dan menambah gelar di hujung nama. Doktoral dan kajian yang tidak pun difahami oleh warga yang mereka perjuangkan.

Individualiti insan tercetak daripada akal, hati, dan nafsu. Ketiga-tiganya mustahak dalam menentukan keperibadian dan membuat keputusan, namun sebagai pemikir yang meletakkan landas spiritual sebagai penentu tuju, saya memandang hati sebagai tunjang utama. Hati adalah medium untuk insan berhubung dengan Pencipta dan fellow creations. Keputusan daripada hati – kasih sayang, altruism, perikemanusiaan – seringkali payah ditafsirkan dengan akal semata-mata.

Mengambil kira landas spiritual, saya cuba melihat soal belas kasihan dan keadilan dari sorot pandang Islam. Spiritualiti lain tidak cukup saya fahami untuk saya bincangkan. Dalam Islam, keadilan mengatasi kemanusiaan, tetapi kemanusiaan itu adalah keadilan. Peraturan adalah demi kesejahteraan manusia seluruhnya, kerana kelakuan setiap insan akan memberi kesan, sama ada langsung atau tidak, kepada umat. Pengecualian kepada belas kasihan mutlak yang mesti diberikan untuk keadilan, sesungguhnya adalah demi kemanusiaan. Keadilan diterjemahkan dalam bahasa kemanusiaan..


Hati, Kemanusiaan dan Belas Kasihan

Jangan mendewa-dewakan akal. Ledakan maklumat menjanjikan informasi daripada segenap sudut dan segi. Tuhan memuliakan insan dengan akal. Tetapi kadang-kadang akal perlu didiamkan. Jenayah kemanusiaan jelas terpampang, sudah terang lagi bersuluh penderitaan Palestin, mengapa membazirkan masa bertelagah siapa yang salah dan siapa yang berkonspirasi?

Berhenti berdolak-dalih, ikut sahaja tuntunan hati, akal jadi penasihat, rangkakan tindakan untuk membantu. Isu-isu pinggiran seperti siapa yang jahat mungkin sudah jatuh ke tangga kesepuluh. Kemanusiaan itu lebih utama daripada keadilan. Tanyalah mana-mana doktor yang mempelajari etika perubatan, atau sukarelawan di bumi yang dirempuh bencana. Ketika itu garisan antara antara hitam dan putih menjadi kabur, yang jelas adalah penderitaan insan yang perlu diringankan. Orang Israel atau orang Palestin, orang Gerakan Acheh Merdeka atau Tentera Nasional Indonesia.

Keadilan diterjemahkan dalam bahasa kemanusiaan! Siapa yang mengkhianati kemanusiaan, dialah penjahat. Ketika manusia benar-benar berkhidmat untuk kebajikan manusia lain, persoalan yang kelihatan besar dan menyesakkan akal di dalam dewan berhawa dingin menjadi remeh dan lewah.

Rachel Corrie, gadis legenda yang menyerahkan nyawanya untuk menghalang jentera merobohkan rumah-rumah di Gaza, pernah berkata, lebih kurang begini, “… apa yang saya lihat di sini, lebih dahsyat daripada apa yang pernah saya gambarkan. Berbaloi kita semua meninggalkan apa sahaja yang sedang dilakukan sekarang, dan berjuang untuk menamatkan keperitan di sini.” Dunia tenat. Yang menggerakkan insan untuk terjun ke dalam lautan manusia, ikhlas menyerahkan diri untuk merawat dunia, bukanlah akal pintar yang membangunkan pelbagai teori yang akhirnya dibawa angin lalu, milik kelompok perasan bagus yang rasa diri gah berjuang dalam dewan berhawa dingin, tetapi hati yang hidup dan mampu merasai, hati yang memacu jasad secara altruistik untuk umat.

Hati yang tidak banyak soal tentang keadilan, melainkan keadilan yang didefinisikan oleh kemanusiaan dan tepat meniti landas spiritual. Berhentilah berdiskusi kosong semata-mata!


*Adibah Abdullah is a second-year Medical student in The University of Manchester. She is one of the columnists in this website. Passionate in literature and (practical) social activism, not to forget her (future) medical profession. A staunch humanitarian and feminist, but abides by her personal definition of the terms. Believes in and fights for universal compassion.


Artikel ini asalnya disiarkan di buletin rasmi UKEC pada 10 November 2007.

Dengarlah Puteriku



Pada masa kini, dapat kita saksikan di kaca televisyen, dapat kita baca di dada akhbar, dapat kita layari di laman sesawang mengenai kes-kes penceraian yang angkanya semakin menakutkan dan membimbangkan. Apakah puncanya? Kesilapan dalam memilih jodoh? Kegagalan kursus perkahwinan? Ketidakfahaman mengenai kerukunan hidup berkeluarga? Sekadar mengikut 'trend' hidup artis Barat?

Ya, penceraian itu dibenarkan dalam Islam, tapi adakah semudah itu melafazkan cerai atau meminta diceraikan? Adakah semudah itu mereka merobohkan masjid yang dibina?

Perkahwinan itu dikatakan umpama membina masjid. Kenapa masjid? Kerana ia adalah tempat yang mulia dimana kita menjalankan segala aspek kehidupan sebagai muslim. Masjid juga merupakan pusat melahirkan ummat yang berkualiti dari segala aspek. Begitu juga perkahwinan, perkahwinan merupakan satu ikatan suci yang akan memastikan kelangsungan hidup mati bangsa manusia. Bagi kita muslim, perkahwinan itu bermaksud meramaikan lagi hamba Allah untuk bersama-sama memakmurkan bumi dan menggalas tanggungjawab menjadi khalifah. Jadi adakah ikatan yang begitu murni ini sanggup dilepaskan begitu sahaja? Adakah masjid itu sewenangya dirobohkan begitu sahaja? Di mana silapnya kita?

Teringat saya kepada pesanan ibu ketika abang hendak bertunang. Ibu berpesan kepada bakal tunang angah seperti ini : Duhai puteriku, bila kamu akan mendirikan rumah tangga, ingatlah pesan ini...

Jadilah kamu hamba baginya dan dia menjadi hamba bagimu
dan jagalah sepuluh perkara untuknya...

Yang pertama dan kedua : berlakulah qanaah kepadanya dan perlakukan dia dengan mendengar dan taat yang baik.

Yang ketiga dan keempat : perhatikan apa yang dilihat dan dicium. Jangan sampai matanya melihat yang buruk padamu dan jangan sampai dia mencium yang buruk darimu, kecuali yang terharum.

Yang kelima dan keenam : Perhatikan waktu makan dan tidurnya. Terlalu lapar itu membelenggu dan kurang tidur itu membuat dia marah.

Yang ketujuh dan kelapan : Jagalah hartanya dan sanak saudaranya. Yang mustahak dalam harta benda ialah mentadbirnya dengan baik. Yang mustahak dalam rumahtangga adalah mengurusnya dengan baik.

Yang kesembilan dan kesepuluh : Janganlah membantah perintahnya dan jangan pecah amanah serta membuka rahsianya. Jika kamu melanggar perintahnya, maka bererti kamu membuatnya marah. Jika kamu pecah amanah, maka kamu tidak akan mendapat aman daripada khianat kepadanya. Dan ingatlah, jangan kamu bergembira di hadapannya di saat dia bersedih dan janganlah pula kamu bersedih apabila dia bergembira. Yang pertama termasuk dalam kesalahan dan yang kedua kamu membuatnya runsing. Jadilah kamu orang yang menghormatinya dan dia akan menghormati kamu. Dan ingatlah, kamu tidak akan berjaya menggapai apa yang kamu inginkan, hinggalah kamu lebih mendahului rasa sukanya daripada rasa sukamu, sama ada mengenai apa yang kamu suka atau kamu benci.

Cuba kita sama-sama merenung pesanan ini dan fahami apa sebenarnya kerukunan hidup berkeluarga. Semoga masjid yang dibina dapat terus melahirkan muslimin dan muslimah terbilang dalam membela agama kita dan bukannya masjid itu dengan mudah dirobohkan hanya dengan lafaz CERAI.