BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, October 12, 2009

Pemergian

Kematian.Perkataan yang paling tidak disukai apabila terasa diri tidak bersedia menghadapinya.Begitulah lumrah kehidupan,yang muda akan tua,yang tua akan pergi,yang muda jua tidak ketinggalan dalam mengikut jejak walaupun tika umur masih merah.Kematian sangat-sangat memberi impak kepada manusia,terutama bagi mereka yang berada dalam lingkungan kekeluargaan kepada si mati.Isteri,anak-anak,ibu,ayah,adik beradik sepupu ,jiran ,rakan ,teman mahupun lawan.Semuanya mendapat kesan dari peninggalan si mati.

Perasaan sedih tatkala kehilangan orang yang disayangi sangat-sangat memberi impak pada keluarga terdekat pada si mati.Akibat kematian,diri rasa sedih,hilang selera makan sehinggakan terlupa bahawa hampir sehari suntuk tidak menjamah makanan dek kesedihan yang membungkam.Di sinilah salah satu kewajipan sebagai rakan atau jiran untuk menceriakan keluarga tersebut.tetapi bagaimana??..

Ketika peperangan Mu’tah,sepupu nabi,Jaafar bin abi Talib telah gugur di medan peperangan,berita gugurnya syuhada’ ini tidak membuatkan Nabi membungkam kesedihan bahkan terus dibelai dan dihiburkan anak-anak Jaafar untuk mengelakkan kesedihan kehilangan ayah mereka,dalam masa yang sama disuruh isterinya/khadam/sahabat-sahabat agar memasakkan makanan dan diberikan kepada keluarga jaafar bagi mengurangkan beban yang mereka tanggung akibat dari kehilangan insan yang paling berharga dalam hidup mereka.

Kisah ini banyak memberi contoh kepada kita,apakah yang sepatutnya kita lakukan,pabila sahabat,atau jiran kita kehilangan ahli keluarga mereka.Menggembirakan anak-anak si mati akan menyebabkan jiwa kecil mereka tidak dibelenggu kesedihan yang tidak sepatutnya mereka tanggung.Bagi si ibu,jika melihat anak-anak nya dibelai oleh kenalan-kenalan,kawan-kawan rapat si mati mahupun jiran mereka,ini akan mengurangkan rasa beban si ibu yang sarat memikirkan kepada siapakah anak-anakku akan menumpang kasih seorang bapa??..siapakah yang boleh kuharapkan untuk melihat anak-anakku yang masih kecil ini??..Apakah anak-anakku boleh membesar tanpa seorang lelaki yang bernama ayah di sisi mereka??…Begitulah saratnya hati seorang ibu memikirkan masa depan anak-anaknya..Jadi,dengan menggembirakan anak-anak si mati,sekurang-kurangnya ia akan mengurangkan rasa beban dan sesak yang ditanggung,untuk anak-anaknya.

Keduanya,memberi atau memasakkan makanan kepada keluarga si mati.Akibat kesedihan yang membungkam hati-hati keluarga si mati,menyebabkan mereka kurang mengambil peduli sedikit tentang makan minum mereka dek kesedihan yang menimpa.Di sinilah perlunya kita menghulurkan sedikit juadah memberi kepada keluarga si mati,untuk mengurangkan rasa sibuk mereka menguruskan urusan si mati,menggembirakan hati-hati keluarga si mati, bahawa masih lagi ada yang mengambil berat tentang mereka.Juga memberi satu tanda yang kitalah tempat berteduh atau sekurang-kurangnya tempat luahan mereka jika sesuatu yang susah mereka hadapi selepas dari siapnya jenazah dikuburkan.

Begitulah serba sedikit berkenaan dengan kematian,yang bagi kita jiwa orang muda,yang kurang memikirkan soal kematian.Sedangkan Nabi menceritakan,secerdik-cerdik manusia adalah mereka yang banyak mengingati mati.Dengan ingat pada kematian,kita akan mencongak sejauh mana amalan kita,jika terasa ianya masih kurang,maka akan ditambahkan lagi amalan tersebut agar ianya seiring dengan datangnya ajal yang tidak pernah kenal usia.Moga-moga dengan coretan ringkas ini,akan membantu kita dalam menangani soal kematian yang tidak pernah lekang dari telinga.

Yang terakhirnya,mari kita sedekahkan bacaan Al-fatihah kepada ayah,ibu ,datuk nenek dan sesiapa yang telah pergi meninggalkan kita untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai di muka bumi ini selaku khalifah Allah..Al-fatihah.

10 'K' Dalam Persahabatan

"Ikatan persahabatan itu seperti untaian tasbih yang ada awal tiada PENGHUJUNG. Dicantum demi Cinta-Nya, diratib demi Redha-Nya."

Di sini, saya ingin berkongsi sedikit mengenai pendapat saya tentang persahabatan. Selama 19 tahun hidup di bumi Illahi ini, telah banyak perkara yang saya pelajari tentang kehidupan. Tentang keluarga, cinta dan persahabatan.

Namun, hari ini, saya hanya ingin berkongsi mengenai semua yang telah saya lalui sepanjang bersahabat dengan bermacam-macam jenis manusia. Setiap orang dianugerahi Allah dengan kelebihan, kebaikan dan keindahan masing-masing. Begitu juga dengan kekurangan, keburukan dan kelemahan masing-masing.

Begitulah sunnatullah. Begitu indah sekali aturan-Nya. Betapa adilnya Dia, menciptakan setiap benda secara seimbang.

Begitu juga halnya dalam persahabatan. Setiap sahabat mempunyai keistimewaan yang telah ditetap Allah sejak azali lagi. Ada sahabat yang kasar, tetapi lembut hatinya, ada sahabat yang nakal, tetapi suka mengambil berat, ada sahabat yang garang, tetapi sebenarnya adalah penyayang dan pelbagai lagi. Macam-macam corak sahabat yang kita boleh dapati setelah bersahabat dengan seseorang.

Setelah menimba pengalaman bersahabat dengan ramai orang, saya ingin membuat kesimpulan mengenai 10 'K' yang perlu dalam sesebuah persahabatan.



"Friendship is an onion. It has many layers in it. Adds taste to your life, but if you try to cut it you will get nothing but tears!"


10 K dalam PERSAHABATAN

* KECINTAAN merupakan elemen yang paling penting sekali dalam sesebuah persahabatan. Ikatan sesebuah persahabatan akan mudah rapuh jika tiadanya kecintaan antara dua insan yang disandarkan kepada Si Pemilik cinta itu sendiri. Sebab itu, kadang-kadang perlunya kita meluahkan rasa cinta kita terhadap sahabat kita dengan mengungkap, "uhibbuka/i fillah" (bagi sahabat-sahabat yang sama jantina sahaja) agar mereka tahu betapa cintanya kita terhadap mereka, kerana Allah (insyaAllah).

* KASIH SAYANG lebih kurang sama sahaja maksudnya dengan kecintaan. Namun, setelah kita mencintai sahabat kita, perlunya kita curahkan segala kasih sayang kita terhadap mereka. Tetapi, kadangkala kasih sayang tidak perlu dipamerkan secara luaran. Cukuplah sekadar kita mendoakan untuk sahabat-sahabat kita, insyaAllah, itu sudah cukup membuktikan betapa sayangnya kita terhadap mereka.

* KEIKHLASAN dapat menjamin sesebuah persahabatan mendapat keberkatan dan rahmat daripada Illahi. Tidak ikhlas ketika bersahabat dengan seseorang akan mengundang permusuhan antara sahabat. Bersahabatlah dengan seseorang kerana keluhuran hati budinya, bukan kerana rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya.

* KESETIAAN terhadap seseorang sahabat mampu memanjangkan tali persahabatan walaupun jarang bertemu. Apabila kita setia terhadap kita, kita akan diingati oleh mereka sehingga akhir hayat mereka, kerana tidak kira susah atau senang, kita setia berada di sisinya memberi sokongan, insyaAllah.

* KEBERANIAN dalam berkata benar. Dalam persahabatan juga, kita hendaklah berani apabila ingin mengatakan sesuatu. Lebih-lebih lagi jika kita telah melakukan sesuatu yang menyakiti hatinya, kita kena berani mengaku padanya atas kesilapan yang dilakukan. Selain itu, berani juga dalam menasihati sahabat kita. kerana sebagai sahabat, kita mesti mahukan yang terbaik untuk mereka kan?

* KEJUJURAN juga perlu dalam persahabatan. Jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat kita. Mereka juga perlu tahu apa yang kita lalui dalam kehidupan kita. Jangan berahsia, melainkan pada perkara yang benar-benar perlu dirahsiakan (hehehe).

* KEMAAFAN. Sekiranya sahabat kita pernah melakukan sebarang kesilapan, bersedialah untuk memaafkannya, tidak kira sebesar manapun kesalahan mereka terhadap kita kerana sahabat yang baik adalah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya. Jika kita yang bersalah, janganlah malu untuk meminta maaf daripada mereka kerana orang yang dahulu meminta maaf adalah orang yang hebat.

* KESEDIHAN. Apabila kita sedar bahawa sahabat kita sedang bersedih, maka, ikutlah sedih bersama-sama dengan mereka. Tawarkanlah bahu kita untuk dijadikan tadahan air mata mereka. Kerana tiada siapa yang akan mereka cari selain kita sahabat mereka.

* KEGEMBIRAAN. Begitu juga dengan kegembiraan. Jika kita gembira, maka marilah berkongsi kegembiraan itu bersama sahabat-sahabat tercinta. Tidak mahukah kita bergelak tawa dengan mereka? Tidak mahukah kita melihat ukiran-ukiran senyuman indah di raut wajah mereka? Kegembiraan kita, kegembiraan mereka jua.

* KESERASIAN di sini bukanlah bermaksud, "Kau cantik, aku mesti cantik," "Kau kaya, aku pun kena kaya". Tidak sama sekali. Sememangnya manusia dijadikan oleh Allah berbeza-beza, namun, dalam persahabatan keserasian dapat diwujudkan apabila terbinanya persefahaman antara dua pihak. Apabila ada persefahaman, barulah hubungan kita dengan sahabat kita akan menjadi lebih baik dan akan berkurangnya pergaduhan disebabkan salah faham (hehehe).

Alhamdulillah, itulah dia 10 K yang dapat saya simpulkan mengenai persahabatan. Maaf kalau agak membosankan, namun saya tetap ingin berkongsi pendapat saya mengenai topik ini.

"Adakah anda dan sahabat anda mengamalkan 10 K ini?"

Perlunya Tarbiyah Islamiah Dalam Institusi Keluarga

Assalamualaikum…

Selepas membaca buku karangan Ridhuan Mohd Nor yang bertajuk Memperingati 100 tahun Hassan Al Banna, saya berfikir sejenak apabila di akhirul kalam penulis, beliau mengatakan bahawa faktor genetik cukup mengesankan dalam menghadirkan seorang pejuang yang menoreh sejarah, malah disekalikan dengan faktor lingkungan persekitaran seseorang itu membesar. Ini merujuk kepada bagaimana Hassan Al Banna sendiri yang membesar dengan didikan agama dan kemuliaan ajaran sejak dari kecil lagi.

didiklah ahli keluargamu mengenal Allah



Tarbiah di dalam sesebuah keluarga itu amat penting kerana ia akan mencorakkan peribadi seseorang anak itu. Coretan sejarah silam juga menunjukkan bahawa betapa pentingnya tarbiah seharian dalam mencorak peribadi seseorang muslim. Contoh terbesar ialah Saidina Ali KWJ yang ditarbiah secara langsung oleh baginda Nabi SAW semenjak umur yang masih kecil. Saidina Ali merupakan sepupu dan anak angkat Nabi SAW yang mana Baginda Nabi mengacuankan peribadi Saidina Ali dengan hebat.

Begitu juga Usamah bin Zaid yang menjadi panglima perang pada zaman Khalifah Abu Bakar. Usamah merupakan anak kepada tokoh Islam iaitu Zaid bin Harithah(anak angkat Rasulullah SAW). Usamah dibesarkan dalam perhatian dan kasih sayang baginda Nabi SAW terutama selepas syahidnya ayah Usamah dalam perang Muktah. Rasulullah SAW sendiri yang mengasah potensi dan bakat yang ada pada Usamah bin Zaid. Buktin kehebatan Usamah dapat dilihat apabila beliau telah dilantik sebagai panglima perang dalam umur belasan tahun.

Selain itu, ada satu kisah yang berlaku pada zaman Saidina Umar menjadi khalifah yang menunjukkan kepada kita bahawa bagaimana peribadi seorang anak adalah cermin kepada peribadi ibu dan bapanya. Pada suatu hari, Saidina Umar telah meronda Madinah untuk melihat kehidupan rakyatnya. Ketika melalui sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di jalanan, semua kanak-kanak bertempiaran melarikan diri kerana aura tegas pada Amirul Mukminin melainkan seorang budak kecil.

Saidina Umar bertanya dalam keadaan berseloroh, ”Hai budak, mengapa kamu tidak lari sebagaimana kawan-kawan kamu yang lain?”. Maka budak itu menjawab, ”Mengapa aku nak lari, aku tidak berbuat apa-apa kesalahan.”. Tertarik dengan keberanian dan ketangkasan budak kecil itu, maka bertanya Saidina Umar dengan penuh teruja, ”Siapakah ibu dan bapa kamu?”. ”Ibuku Asma’ binti Abu Bakar dan bapaku Zuber Al Awwam” tukas budak kecil itu. “Patutlah kamu seorang yang hebat kerana kamu mempunyai ayah dan ibu yang hebat” ujar Saidina Umar. Anak kecil itu ialah Abdullah bin Zuber yang akhirnya membina nama besar dalam sejarah Islam.

************



Ini pula artikel yang saya ambil daripada anonymous…

Seorang ibu adalah Madrasah

Sedar atau pun tidak, hakikatnya seorang ibu adalah madrasah.
Berjayanya ibu-ibu di Palestin melahirkan anak-anak yang memerangi senjata
Israel dengan hanya seketul batu dan melahirkan anak-anak yang penuh dengan
jiwa jihad.

Sebuah kisah di negeri berdarah, ungkapan kata seorang anak kepada
ibunya:

"Wahai ibu, jangan dinantikan kepulanganku, kerana pergiku dengan
satu matlamat ...supaya aku mati syahid..."

Sungguh gah hati seorang ibu, kerana melahirkan anak yang berjiwa pejuang.
Ibu adalah madrasah para syuhada'.

Berkata seorang penyair:

" Seorang ibu adalah madrasah. Apabila engkau mendidiknya, bererti engkau
sedang menyediakan satu generasi yang unggul.”

Satu generasi yang bakal dilahirkan oleh muslimah-muslimah yang sedang
mentarbiyyah dan ditarbiyyah...iaitu satu generasi Rabbani. Tangan yang
menghayun buaian, dapat menggegarkan dunia....

Allah berfirman:

"Wahai org-org yg beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yg bahan bakarnya adalah manusia dan batu;penjaganya malaikat-malaikat yg kasar, dan keras, yg tidak durhaka kpd Allah terhadap apa yg Dia perintahkn kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yg diperintahkan" (At-Tahrin:6)

Wallahu’alam

Nasihat Kehidupan

1. KETIKA MENCARI CALON
Janganlah mencari isteri, tapi carilah ibu bagi anak-anak kita
Janganlah mencari suami, tapi carilah ayah bagi anak-anak kita.

2. KETIKA MELAMAR
Anda bukan sedang meminta kepada orang tua/wali si gadis,
tetapi meminta kepada Allah melalui orang tua/wali si gadis.

3. KETIKA AKAD NIKAH
Anda berdua bukan menikah di hadapan penghulu,
tetapi menikah di hadapan Allah


4. KETIKA RESEPSI PERNIKAHAN
Catat dan hitung semua tamu yang datang untuk mendoa'kan anda,
kerana anda harus berfikir untuk mengundang mereka semua dan meminta maaf apabila anda berfikir untuk BERCERAI kerana menyia-nyiakan do'a mereka.

5. KETIKA MALAM PERTAMA
Bersyukur dan bersabarlah.
Anda adalah sepasang anak manusia dan bukan sepasang malaikat.

6. SELAMA MENEMPUH HIDUP BERKELUARGA
Sedarilah bahawa jalan yang akan dilalui tidak melalui jalan bertabur bunga,
tapi juga semak belukar yang penuh onak dan duri.

7. KETIKA BIDUK RUMAH TANGGA GOYANG
Jangan saling berlepas tangan,
tapi sebaliknya justeru semakin erat berpegang tangan

8. KETIKA BELUM MEMILIKI ANAK.
Cintailah isteri atau suami anda 100%

9. KETIKA TELAH MEMILIKI ANAK.
Jangan bagi cinta anda kepada (suami) isteri dan anak anda,
tetapi cintailah isteri atau suami anda 100%
dan cintai anak-anak anda masing-masing 100%.

10.KETIKA EKONOMI KELUARGA MERUDUM
Yakinlah bahawa pintu rezeki akan terbuka lebar berbanding lurus
dengan tingkat ketaatan suami dan isteri.

11.KETIKA EKONOMI BERKEMBANG
Jangan lupa akan jasa pasangan hidup yang setia mendampingi kita semasa menderita

12.KETIKA ANDA ADALAH SUAMI
Boleh bermanja-manja kepada isteri tetapi jangan lupa untuk bangkit secara bertanggung jawab apabila isteri memerlukan pertolongan Anda.

13.KETIKA ANDA ADALAH ISTERI
Tetaplah berjalan dengan gemalai dan lemah lembut, tetapi selalu berhasil menyelesaikan
semua pekerjaan.

14.KETIKA MENDIDIK ANAK
Jangan pernah berpikir bahawa orang tua yang baik adalah orang tua yang tidak pernah marah kepada anak,kerana orang tua yang baik adalah orang tua yang jujur kepada anak ....

15.KETIKA ANAK BERMASALAH
Yakinilah bahawa tidak ada seorang anakpun yang tidak mahu bekerjasama dengan orang tua, yang ada adalah anak yang merasa tidak didengar oleh orang tuanya.

16.KETIKA ADA PIL.
Jangan diminum, cukuplah suami, isteri sebagai ubat.

17.KETIKA INGIN AMAN DAN HARMONIS

Gunakanlah formula 7 K
1 Ketaqwaan
2 Kasih sayang
3 Kesetiaan
4 Komunikasi dialogis
5 Keterbukaan
6 Kejujuran
7 Kesabaran

Belajar Erti Redho dan Sabar

Rasanya macam sukar nak menulis kembali. Mungkin banyak peristiwa duka yang berlaku sepanjang Akhir bulan Mei dan Awal bulan Jun dan ini adalah hari-hari yang terlalu sukar untuk saya. Hari-hari yang penuh dengan ujian dan dugaan.Bayangkan sepanjang hari – hari yang saya lalui terlalui sedih untuk dikenang. Ibaratnya dugaan saya selama ini adalah saya sedang membina sebuah istana pasir yang cukup cantik di tepi pantai. Saya jaga istana pasir itu, saya bina ia mengikut kehendak alam, dengan penuh berhati-hati agar tidak merosakkan mana-mana bahagian yang telah lengkap. Saya mengambil masa berjam-jam malah berhari-hari membina istana itu tanpa tidak pernah menyangka ia akan musnah akhirnya kerana ia dibina di tepi pantai. Fenomena itu sememangnya saya tahu. Tapi kuasa Allah mengatasi segala-galanya. Ombak hidup mengikut aturan sang Pencipta. Akhirnya istana pasir yang saya bina musnah jua dipukul ombak besar. Saya ingin menangis kerana istana pasir itu telah musnah kerana penat lelah saya membina dan menjaganya selama ini. Masakan usaha berhari-hari saya musnah dalam masa tidak lebih seminit. Sekelip mata. Begitulah ibarat peristiwa yang saya lalui.

Ujian itulah kehidupan

Allah ingin menguji saya lagi. Saya demam dan selsema. Bukan sehari dua malah hamper 12 hari dan hari ini baru saya rasa demam saya berkurangan. Ditambah pula dalam tempoh demam itu saya kena buat ujian memandu untuk dapatkan lessen kereta. Aduhai, terasa amat perit hari yang saya lalui itu. (Bukan mengeluh, tapi ekspresi rasa saya). Mungkin jua saya terlampau terkejut. Kata nenek saya ‘sabarlah, Allah baru mencubit sedikit sahaja paha kita, kita telah mengeluh panjang dan bising-bising.’ Kata-kata nenek saya betul. Tapi saya bukan mengeluh bukan tak redho, Cuma saya rasa ingin mengadu sangat-sangat kepada Allah. Kata Abusaif, kehidupan kita ini tidak dapat lari dari ujian-ujian Allah kerana ujian itulah sebenarnya kehidupan kita. Ya saya akui. Redho itu perit, Tapi Imbalannya Manis… Beberapa hari ini saya cuba mencari kekuatan diri saya untuk menerima apa yang berlaku dalam hidup saya. Saya cuba belajar erti redho. Betul, redho tidak semudah yang kita sebut-sebutkan. Redho itu perit, tapi imbalannya manis. Begitulah pesan kakak saya. Hari ini tarbiyyah tak langsung yang berguna untuk saya daripada Allah adalah saya belajar erti redho. Kata orang sabar itu adalah yang paling mulia, tapi redho itu paling tinggi selain bersyukur menerima ujian kerana antar sabar dan redho, redho itu kita perlu ikhlas menerima setiap ketentuan. Bayangkan jika anda menerima ujian yang terlalu berat, kita akan tahu apa bezanya redho dan sabar. Ia memang berbeza.

Dulu seorang sahabat saya bertanya, bagaimana mahu menjadi seorang yang redho? Waktu itu saya hanya diam tanpa memberi apa-apa respon kerana sememangnya saya tidak tahu. Hari ini, setelah saya melalui episode yang sukar dalam hidup saya, saya punyai jawapannya.

Pertama jangan terlalu mengikut perasaan dan sentiasa berfikiran positif, maka dengannya kita akan ikhlas dengan ketentuan Allah.

Kedua yakinlah bahawa apa yang diambil Allah, lalu kita bersabar, maka tidaklah Allah memberikan ganti melainkan apa yang diberi ganti itu lebih baik daripada apa yang diambil. Di sinilah perlunya sabar. Alhamdulillah hari ini saya belajar.

Berkata Umar Abdul Aziz ‘Allah tidak memberi kenikmatan kepada seseorang hambaNya dengan suatu kenikmatan kemudian Dia mengambil kenikmatan itu daripadanya. Lalu digantikanNya dengan kesabaran, melainkan apa yang dijadikan ganti itu lebih baik daripada apa yang diambilnya.’

Kembalilah kepada Allah

Sememangnya, kita tidak dapat lari daripada ujian Allah. Kerana dengan ujian itulah iman akan teruji. Saya telah menemui ramai orang yang diuji hamper sama seperti saya. Andai diikutkan nafsu dan emosi, pasti saya tidak ubah seperti orang-orang yang mengambil jalan mudah untuk menyelesaikan masalah seperti mengurung diri, merayau-rayau dan sebagainya. Nauzubillah. Alhamdulillah episod duka saya lalui itu dengan penuh terarah. Saya masih ada tempat mengadu kepada Allah sekalipun pada masa yang sama ada mulut-mulut manusia yang tidak lepas daripada membicarakan tentang manusia-manusia lain.

‘Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ‘kami beriman’ sedangkan mereka tidak diuji (dengan sesuatu ujian) ‘– (Surah al-Ankabuut ;2)

Apa yang penting, kita kembalilah kepada Allah. Saya ingin ulangi kata-kata nenek saya, Allah baru sahaja mencvubit kita sedikit jika hendak dibanduingkan dengan nikmat kurniaanNya yang melangit luas. Kita jangan cepat melatah dan merasa cemas dengan ujian yang menimpa. Disinilah kebergantungan kita kepada Allah sangat diperlukan.

Al-Mutanabbi berkata, ‘Kecemasan hanya akan mengakibatkan tubuh menjadi kurus dan rambut akan beruban dan menjadi amat tua.’ Jangan membiarkan ujian itu menjadikan kita cepat tua =).

Kata William Mark Gaugil dalam pidato ilmiahnya di depan Persatuan Doktor Gigi Amerika, ‘Perasaan tidak bahagia seperti takut dan cemas sangat mungkin memberi kesan kepada penyebaran kalisium di dalam tubuh dan selanjutnya akan mengakibatkan kerosakan pada gigi’

Patutlah sepanjang saya sedih, saya selalu sakit gigi. Mungkin ini kesan sedih dari sudut kesihatan. Apapun belajarlah untuk redho kerana apabila kita redho, kita sememangnya kembali kepada Allah dan insyaAllah hati kita akan bahagia.

Wasiat Luqman Alhakim

‘Dan selalulah berharap kepada Allah tentang sesuatu yang menyebabkan untuk tidak menderhakai Allah. Takutlah kepada Allah dengan sebenar-benar takut (taqwa), tentu engkau akan terlepas dari sifat berputus asa dari rahmat Allah’

Binalah Istana untuk didiami

Syukur, terlalu banyak pelajaran saya Allah berikan untuk saya daripada ujian ini.

Pertama seperti wasiat Luqman al-Hakim lagi kepada anaknya “Wahai anakku, janganlah engkau langsung menelan sahaja kerana manisnya barang dan janganlah langsung memuntahkan sahaja pahitnya sesuatu barang itu, kerana manis belum tentu menimbulkan kesegaran dan pahit itu belum tentu memberi kesengsaraan”

Keduanya, saya tidak mahu membina istana pasir lagi. Saya ingin membina istana untuk saya diami. Kali ini, saya perlu berhati-hati.

Ketiga, biarlah apa yang diperlakukan orang terhadap kita, selagi keyakinan kita pada Allah selagi itulah hidup kita bahagia.

Akhirnya saya belajar erti sabar dan redho. Amin.

Sejenak Bersama Dakwah

Bilakah kali terakhir dirimu menangis mengenangkan keadaan ummah ini?

Bilakah kali terakhir dirimu melihat seorang yg melakukan maksiat secara terang-terangan, lalu timbul rasa kasihan di hatimu lantas bermunajat kepada Allah untuk dirimu dan dirinya?

Lidah kita terlalu pantas melantunkan kata-kata kesat. Tangan kita terlalu ringan memukul dan menyakitkan. Kuasa yg ada digunakan semahu-mahunya. Semuanya dihalalkan atas nama dakwah.

Mengapa?

Tidak sepatutnya wahai pendakwah! Dakwah itu terlalu suci untuk dicemari sebegini rupa.

Islam ruh dan jasad

Untuk mengislahkan ummah, kita perlu kembali kepada Islam dengan maknanya yg hakiki. Ummah tidak menyelami hakikat sebenar Islam. Para pendakwah pula muflis akhlak dan ibadah. Kitalah golongan pendakwah itu. Ibadah kita tidak disertai rasa cinta. Rukuk dan sujud semata-mata tunduk tanpa khusyuk dan tawadhu'. Puasa hanya sekadar berlapar dan dahaga. Bacaan Al-Quran tidak mengalirkan air mata.

Dengan sebab inilah Imam Ghazali mengarang kitabnya Ihya' Ulumiddin. Ummah ketika itu berhajat kepada Islam yg sebenar. Islam secara ruh dan jasad. Ketika Al-Quds berada dalam genggaman tentera Salib, umat Islam pula berada dalam keadaan lemah dan hina. Imam Ghazali sedar penyakit yg menimpa ummah lalu menyediakan rawatan melalui kitabnya, Ihya. Maka lahirlah tokoh sehebat Nuruddin Zinki dan Solahuddin Al-Ayyubi.

Pada hari ini, seorang lelaki berkata dengan penuh semangat, "Keadaan umat tidak akan berubah melainkan dengan kemunculan seorang pemimpin sehebat Solahuddin Al-Ayyubi." [1] Lalu seorang yg pakar dengan ilmu dakwah menjawab, "Kalaulah Solahuddin Al-Ayyubi muncul pada hari ini, tentu beliau akan dijual kepada musuh. Solahuddin Al-Ayyubi tidak keseorangan pada zamannya, bahkan beliau merupakan produk tarbiyyah dan produk masyarakat yg hebat. Daripada masyarakat dan persekitaran inilah, munculnya Solahuddin Al-Ayyubi!"

Masyarakat yg hebat akan melahirkan individu yg hebat. Masyarakat yg bangsat akan melahirkan individu yg bangsat. Rawati ruh kita. Kita rawati masyarakat.

Nasihat

Seorang pendakwah perlu memberi nasihat dan menerima nasihat. Hinakan diri untuk menerima nasihat hatta dari seorang gila di jalanan. Sebelum memberikan nasihat kepada orang lain, hadirkan dalam hati anda bahawa orang tersebut lebih mulia daripada anda. Susah bukan?

Bersedialah untuk sebarang kemungkinan jika dia tidak menerima nasihat anda. Jangan takut kepada celaan orang yg mencela. Dan bersungguhlah untuk menasihatinya lagi. Jangan juga membuatkan orang yg dinasihati berasa dirinya mulia. Kerana jiwa manusia kebiasaannya tidak akan menerima nasihat dalam keadaan merasakan dirinya mulia.

Secara peribadi, saya berpandangan bahawa nasihat atau teguran kepada orang yg melakukan maksiat di jalanan tidak sepatutnya dipanjang-panjangkan. Cukup dengan sekitar 30 saat dan minta izin untuk berlalu pergi. Kerana tujuan asal dia berada di situ bukan untuk mendengar tazkirah anda. Tazkirah yg berjela-jela akan menjemukan dan mengganggunya. Kecuali jika dia yg memohon penjelasan.

Namun, jika anda punya kuasa maka gunakannya bersesuaian dengan keadaannya. Jangan mengiakannya dan jangan melampaui batasnya.

Mengambil manfaat dari setiap yg berfaedah

Kebijaksanaan umpama barang yg tercicir milik orang beriman, sesiapa yg menemuinya dialah yg paling berhak. Setiap perkara yg berfaedah perlu dimanfaatkan walaupun berasal dari bukan Islam.

Pendakwah perlu tahu beza antara mengambil faedah daripada bukan Islam dan tasyabbuh dengan bukan Islam. Pendakwah perlu melihat dengan kacamata syara'. Adakah syara' memujinya atau mengejinya.

Lalu, ambillah faedah daripada bukan Islam sekadar yg diharuskan syara'. Manfaatkan setiap peluang yg melintas di hadapan! Pendapat yg mewajibkan untuk mengambil setiap amalan barat dengan alasan mereka telah mencapai kemajuan adalah pendapat yg batil. Begitu juga dengan pendapat yg mengatakan barat adalah musuh kita maka jangan manfaatkan apa-apa pun daripada mereka.

Niat ikhlas untuk menyampaikan kebaikan kepada semua

Timbul persoalan, "Adakah diri anda berasa suka untuk menyampaikan kebaikan walaupun kepada orang yg menyakiti dan mengutuk anda?" Jika jawapannya, "Ya", maka itu petanda kepada keikhlasan niat anda dalam berdakwah di jalan Allah.

"Adakah dakwah anda umum kepada semua? Atau sekadar kepada mereka yg sehaluan dengan anda?" Jika jawapannya, "Umum kepada semua", maka anda adalah pendakwah yg sebenar.

Pendakwah perlu sentiasa menghadirkan niat di dalam hati untuk menyampaikan hidayah kepada semua. Hatinya tidak boleh sunyi daripada niat ini dalam apa jua keadaannya.

Sabda Baginda, لا يؤمن أحدكم حتى يحب لأخيه ما يحب لنفسه "Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri." Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini berkata bahawa 'persaudaraan' dalam hadith ini bermakna persaudaraan yg umum iaitu persaudaraan kemanusiaan. Imam Nawawi berkata lagi, "Oleh sebab itu, berdoa hidayah kepada orang kafir hukumnya sunat." Beliau juga berkata, "Yang dimaksudkan dengan mengasihi (dalam hadith ini) ialah menginginkan kebaikan dan manfaat."

Tidak sibuk dengan perkara cabang

Perkara cabang atau furu' yg masih berada dalam ruang lingkup khilaf tidak seharusnya diperdebatkan. Si pendakwah perlu menghayati adab-adab dalam berkhilaf. Kaedah fiqhiyyah menyebut, "Tidak diingkari perkara yg khilaf padanya tetapi diingkari perkara yg telah diijmakkan ke atasnya."

Maka seorang pendakwah mesti membezakan antara dua kategori tersebut. Sekiranya telah diijmakkan sesuatu perkara, maka wajib diingkari perkara yg berlawanan dengan ijmak ini.

Pintu dakwah terbuka luas

Seorang pendakwah perlu tahu bahawa pintu dakwah tidak pernah tertutup. Lapangan dakwah terbentang luas. Pendakwah perlu sedar bahawa pintunya banyak dan dia boleh memasuki melalui mana-mana pintu yg sesuai dengan dirinya.

Jika di dalam penjara sekalipun, dia masih boleh berdakwah. Jika dipenjara seorang diri, maka penjaga penjara merupakan sasarannya. Jika penjaga penjara enggan berbicara dengannya, maka dakwahnya ialah melalui doanya dan melalui senyuman kepada setiap yg memandangnya. Dia hendaklah berniat bahawa keberadaannya di dalam penjara sebagai sebab hidayah kepada orang yg menzaliminya.

Tidak malu, tidak jumud dan berfikiran terbuka

Pendakwah juga tidak boleh malu dalam berdakwah. Abaikan siapa yg berada di hadapan anda. Tugas anda ialah menyampaikan kepada semua. Kawan mahupun lawan. Persetankan ejekan di sekeliling. Berpegang dengan prinsip tetapi tidaklah sehingga jumud dan berfikiran terbuka tetapi tidaklah sehingga menggadai prinsip. Keterbukaan itu hendaklah tidak melepasi orbit Islam.

Pendakwah juga hendaklah bersikap profesional dan mahir dalam menghukum sesuatu perkara. Tidak emosi dan tidak mengikut hawa nafsu.

Asal dakwah, lembut atau keras?

Sesungguhnya asalnya ialah lembut dan keras itu ialah cabangnya. Pendakwah hendaklah menggunakan kelembutan dalam ucapan dan tingkah lakunya. Digalakkan bergurau sekadarnya dan jangan bergurau kecuali dalam perkara yg benar.

Tetapi, dakwah juga berhajat kepada kekerasan dalam sesetengah keadaan. Rasulullah s.a.w. sentiasa bergaul mesra dengan Usamah bin Zaid r.a. Tetapi ketika mengetahui Usamah telah membunuh seorang musuh yg telahpun melafazkan syahadah dan beliau menggunakan alasan bahawa si musuh hanya ingin menyelamatkan diri, Baginda telah menggunakan kekerasan. Baginda berkata kepadanya, "Adakah kamu telah membelah hatinya?" Sehinggakan diketahui isi hatinya...?

Kekerasan dalam dakwah ibarat ubat bukannya makanan. Ilmu psikologi membuktikan bahawa seseorang manusia apabila kerap kali dilayan dengan keras, kasar dan denda, dia akan hilang perasaan rasa bersalah, menjadi lali atau kebal dengan nasihat dan bersikap tidak peduli.

Tetapi jika selalu dilayan dengan lembut lalu ada keadaan yg memaksa supaya dilayan dengan kekerasan, maka digunakan kekerasan, ini akan memberikan kesan yg mendalam terhadapnya. Bahkan penggunaan ubat yg berlebihan tanpa mematuhi disiplin akan mendedahkan pesakit kepada sakit yg lebih dahsyat. Apatah lagi jika pendakwah menggunakan kekerasan sebagai makanan dan bukan sebagai ubat, ini akan menambahkan lagi penyakit orang yg ingin dirawatinya. Sebahagian pula tertipu dengan menganggap kelembutan ialah kelemahan. Jauhilah anggapan keji ini.

Jangan menghina orang

Sebahagian orang yg mengaku pendakwah dikira gagal dalam gerak kerjanya apabila menganggap sebahagian orang langsung tiada manfaat dan faedah kerana sikap buruk yg diamalkannya. Bahkan orang yg mengatakan orang ini atau itu tidak berfaedah sepatutnya bimbang tentang dirinya sendiri, adakah dia seorang yg berfaedah? Adapun jika seseorang melakukan maksiat secara terang-terangan dan berbangga dengannya, maka dibenarkan untuk mengumpatnya.

Untuk perincian, beleklah Ihya Ulumiddin, Kitab Aafaat Al-Lisan. Mudah-mudahan tulisan ini dapat dijadikan pedoman untuk diri ini dan para pendakwah di luar sana.

PEMUDA DAN DAKWAH

Jika dilihat pada ‘product’ pemuda pemudi kita, sebenarnya boleh dibahagikan kepada beberapa kategori.

1. Golongan yang terus iltizam dengan kerja-kerja Dakwah & Tarbiyah.

2. Golongan yang sekadar hadir dalam aktiviti-aktiviti Dakwah & Tarbiyah.

3. Golongan yang tidak lagi ‘bersama kita’

4. Golongan yang melihat dan menilai kita lalu melihat terlalu banyak kelemahan yang ada pada kita lalu membentuk Toifah lain ( sisters/ liberal dsbg.) atau bergabung diri dengan Toifah lain.

Malangnya golongan pertama terlalu sedikit, mungkin segan kalau kita nak sebutkan tak sampai 10 peratus tetapi itulah hakikat yang terpaksa kita terima. Pemuda dan perubahan Sebenarnya penggerak Dakwah diperingkat awal pengutusan Rasulullah SAW kebanyakannya terdiri dari pemuda-pemuda contohnya: Saidina Ali, Mus,ab, Saidina ‘Uthman dan lain-lain.

Dakwah juga cepat diterima dan berkembang di Madinah dan hebat mendapat tentangan di Makkah juga kerana faktor pemudanya. Penduduk Makkah dikuasai oleh golongan tua yang sukar meninggalkan pegangan lama mereka. Manakala Madinah pula majoriti yang menguasainya adalah pemuda kesan dari peperangan antara puak Aus dan Khazraj yang berlangsung hampir 200 tahun yang telah mengorbankan ramai generasi tuanya dan meninggalkan pemuda-pemuda sebagai pewaris mereka.

Abdullah Nasih ‘Ulwan pernah menyebut:

“Di sebalik keagungan ilmu dan ketamadunan Islam, maka kita dapati generasi pemudalah yang dianggap telah memainkan peranan yang begitu hebat, hinggakan Keagungan Islam tercapai di tangan mereka. Niat mereka sungguh suci. Ketabahan hati mereka amat mengkagumkan sekali. Mereka tidak tertipu dengan kemewahan yang mereka perolehi di dunia ini. Mereka terus berusaha, bekerja dan berJihad untuk berdakwah ke jalan Allah, hatta tercapai segala hasrat dan cita-cita mereka yang suci murni itu...”

Dan beliau juga menyebut:

“Usaha dan Jihad pemuda-pemuda merupakan suatu tenaga yang paling berpotensi bagi mengatasi dan memecah sebarang masalah. Usaha ke arah Keagungan dan Kegemilangan akan terkabul di tangan-tangan pemuda-pemuda Islam, bukan di kalangan orang yang tidak bermaya lagi tidak berpotensi. Sebagaimana kita semua ketahui, bahawa angkatan pemuda adalah merupakan suatu tenaga yang utuh, teguh andainya mereka ini diasuh dan ditarbiyah dengan tarbiyah Islamiah, hingga jiwa-jiwa mereka ini penuh padu keimanan dengan Allah s.w.t. Berteraskan dengan keimanan yang tulin sahajalah kedudukan ummah ini dapat ditingkatkan sampai menjadi suatu ummah yang aman makmur.”

Pemuda dan kemudaannya. Berbalik kepada persoalan asas yang dibincangkan; kenapa begitu sedikit yang dapat terus istiqamah dengan kerja-kerja Dakwah & Tarbiyah. Persoalan ini mungkin terjawab dengan kita mengenali siapakah pemuda dan apakah pengisian yang sepatutnya berlaku pada tempoh umur ini.

Zaman muda ialah suatu zaman yang cukup bergejolak, agresiff, bertenaga, cita- cita yang tinggi, keazaman yang kental dan semangat yang membara. Inilah keadaan pemuda di setiap zaman. Namun yang berbeza mungkin persekitaran yang ada disekitar mereka.

Pemuda-pemuda kita hari ini tidak banyak terikat dengan tanggungjawab, membesar dalam kemewahan dan kesenangan hidup, segala yang dihajati dicapai dengan mudah. Mungkin inilah yang membezakan kita dengan pemuda-pemuda Kahfi, pemuda Madinah dan pemuda awwalun yang lain.