BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Tuesday, September 15, 2009

Berjuang.. Tetapi Tidak Ikhlas?

Ramai orang yang berjuang. Tapi tidak seramai itu pula yang berjuang dengan ikhlas. Melalui interaksi dengan Kitabullah dan Nabi Muhammad saw., para sahabat amat memahami bahawa memurnikan (mengikhlaskan) orientasi dan amal hanya untuk Allah adalah suatu keniscayaan yang tidak dapat ditawar-tawar lagi.

Mereka meyakini sepenuhnya bahawa hal itu merupakan kunci untuk memperoleh pertolongan dan dukungan Allah dalam setiap pertempuran yang mereka terjuni, menghadapi musuh-musuh mereka, baik musuh dari dalam diri mahupun dari luar diri mereka.

Mereka menghayati firman Allah swt.:
“Tidaklah sepatutnya bagi penduduk Madinah dan orang-orang Badwi yang berdiam di sekitar mereka, tidak turut menyertai Rasulullah (pergi berperang) dan tidak patut (pula) bagi mereka lebih mencintai diri mereka daripada mencintai diri Rasul. Yang demikian itu ialah kerana mereka tidak ditimpa kehausan, kepayahan, dan kelaparan pada jalan Allah. Dan tidak (pula) menginjak suatu tempat yang membangkitkan amarah orang-orang kafir, dan tidak menimpakan suatu bencana kepada musuh, melainkan dituliskanlah bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik.” [At-Taubah (9):120]

Para sahabat memahami hal itu dan mengaplikasikannya dalam diri mereka. Maka terlihat dalam perilaku mereka. Syadad bin Al-Hadi mengatakan, seorang Arab gunung datang kepada Rasulullah saw. lalu beriman dan mengikutinya. Orang itu mengatakan, “Aku akan berhijrah bersamamu.” Maka Rasulullah saw. menitipkan orang itu kepada para sahabatnya.

Saat terjadi
Perang Khaibar, Rasulullah saw. memperoleh ghanimah (rampasan perang). Lalu beliau membahagi-bahagikannya dan menyisihkan bahagian untuk orang itu seraya menyerahkannya kepada para sahabat. Orang itu biasa menggembalakan binatang ternak mereka.

Ketika ia datang, para sahabat menyerahkan bahagiannya itu. Orang itu mengatakan, “Apa ini?” Mereka menjawab, “Ini adalah bahagianmu yang dibahagikan oleh Rasulullah saw.” Orang itu mengatakan lagi, “Aku mengikutimu bukan kerana ingin mendapatkan bahagian seperti ini. Aku mengikutimu semata-mata kerana aku ingin tertusuk dengan anak panah di sini (sambil menunjuk tenggorokannya), lalu aku mati lalu masuk syurga.”

Rasulullah saw. mengatakan,
“Jika kamu jujur kepada Allah, maka Dia akan mengizinkan keinginanmu.” Lalu mereka berangkat untuk memerangi musuh. Para sahabat datang dengan memapah orang itu dalam keadaan tertusuk panah di bahagian tubuh yang ditunjuknya. Rasulullah saw. mengatakan, “Inikah orang itu?” Mereka menjawab, “Ya.” Rasulullah saw. berkata, “Ia telah jujur kepada Allah, maka Allah memakbulkan keinginannya.”

Lalu Rasulullah saw. mengkafaninya dengan jubah beliau kemudian mensolatinya. Dan di antara doa yang terdengar dalam solatnya itu adalah: “Allaahumma haadza ‘abduka kharaja muhaajiran fii sabiilika faqutila syahiidan wa ana syahidun ‘alaihi”
(Ya Allah, ini adalah hamba-Mu. Dia keluar dalam rangka berhijrah di jalan-Mu, lalu ia terbunuh sebagai syahid dan aku menjadi saksi atasnya).” (Diriwayatkan oleh An-Nasai)


Anas Bin Malik ra. menceritakan bahawa seorang laki-laki datang kepada Rasulullah saw. seraya mengatakan, “Ya Rasulullah, sesungguhnya aku orang hitam, buruk rupa, dan tidak punya harta. Jika aku memerangi mereka (orang-orang kafir) hingga terbunuh, apakah aku masuk syurga?” Rasulullah saw. menjawab, “Ya.” Lalu ia maju dan bertempur hingga terbunuh.

Ia lalu dibawa kepada Rasulullah saw. dalam keadaan sudah meninggal. Rasulullah saw. mengatakan, “Sungguh Allah telah membuat indah wajahmu, membuat harum baumu, dan membuat banyak hartamu.” Beliau kemudian melanjutkan, “Aku telah melihat kedua isterinya dari kalangan bidadari mereka berebut jubah yang dikenakannya. Mereka masuk antara kulit dan jubahnya.” (Diriwayatkan oleh Al-Hakim)

Begitulah para sahabat mempraktikkan ikhlas dalam perjuangan. Dan begitu pulalah seharusnya kita mempraktikkannya. Dan jika ada niat yang tidak jelas dalam jiwa selain keikhlasan, maka hendaknya kita ingat hal-hal berikut ini:

Pertama, bahawa Allah mengawasi, mengetahui, mendengar, melihat kita. Firman-Nya:
“Dan Dialah Allah (Yang Disembah), baik di langit mahupun di bumi; Dia mengetahui apa yang kamu rahasiakan dan apa yang kamu lahirkan; dan mengetahui (pula) apa yang kamu usahakan.” [Al-An'am (6): 3]

Katakanlah: “Jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahui.”

Allah mengetahui apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu. [Ali Imran (3): 29]

Kedua
, bahawa orang yang riya (ingin dilihat orang) atau sum’ah (ingin didengar orang) dalam beramal akan dibongkar oleh Allah semenjak di dunia sebelum di akhirat. Dan mereka tidak mendapatkan bahagian dari amal mereka selain dari apa yang dinginkannya.

Rasulullah saw. bersabda,
“Siapa yang ingin (amalnya) didengar orang, maka Allah akan membuatnya di dengar; dan siapa yang ingin (amalnya) dilihat orang, maka Allah akan membuatnya dilihat orang.” (Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

Ketiga, bahawa kekalahan yang diderita kaum Muslimin dewasa ini adalah akibat kezaliman kita sendiri. Firman-Nya:
“Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikitpun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri.” [Yunus (10): 44]

Keempat
, bahawasanya ketidakikhlasan menghancurkan amal, besar mahupun kecil. Dan dengan demikian bererti kita telah membuat perjuangan kita bertahun-tahun sia-sia belaka. Allah swt. berfirman:
“Dan sesungguhnya telah merugilah orang yang telah melakukan kezaliman.” [Thaha (20): 111].

“Dan Kami hadapi segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu (bagaikan) debu yang berterbangan.” [Al-Furqan (25): 23]

Dan Rasulullah saw. bersabda, “Aku benar-benar mengetahui orang-orang dari umatku yang datang pada hari kiamat dengan membawa kebaikan-kebaikan seperti gunung Tihamah. Lalu Allah menjadikannya bagaikan debu yang tertiup angin.”

Tsauban berkata, “Wahai Rasulullah, terangkanlah sifat mereka kepada kami agar kami tidak seperti mereka, kerana kami tidak mengetahui mereka.” Rasulullah saw. menjelaskan, “Mereka adalah termasuk saudara-saudara kamu dan seperti kulitmu. Mereka menggunakan waktu malam seperti yang kamu lakukan, akan tetapi mereka adalah orang-orang yang jika berhadapan dengan larangan-larangan Allah mereka melanggarnya.” (Riwayat Ibnu Majah)

Kelima, orang-orang yang beramal bukan kerana Allah adalah orang yang pertama dibakar untuk menyalakan neraka. Dalam hadits panjangnya, Rasulullah saw. menjelaskan nasib tiga kelompok manusia yang celaka di hari akhirat kerana beramal dengan riya.

Keenam, orang-orang yang riya’ akan menjadi teman syaitan pada hari kiamat di dalam neraka jahanam. Mereka kekal di dalamnya. Cukuplah bagi kita
kisah Quzman, seperti yang diterangkan oleh Qatadah –semoga Allah meredhainya.

Beliau menjelaskan, “Di antara kami ada orang asing dan diketahui siapa dia. Ia dipanggil Quzman. Adalah Rasulullah saw. setiap disebut namanya selalu mengatakan bahawa dia termasuk penghuni neraka. Saat terjadi Perang Uhud, Quzman terlibat dalam pertempuran sengit sampai berhasil membunuh lapan atau tujuh orang musyrik. Memang dia orang kuat.

Lalu ia terluka lalu dipapah ke rumah Bani Zhufr. Beberapa lelaki dari kaum Muslimin mengatakan kepadanya, ‘Demi Allah, engkau telah diuji hari ini, hai Quzman, maka berbahagialah.’ Quzman menjawab, ‘Dengan apa aku bergembira. Demi Allah sesungguhnya aku berperang tidak lain kerana membela nama kaumku. Jika bukan kerana hal itu aku tidak akan turut berperang. Ketika merasakan lukanya semakin parah, ia mencabut panah dari tempatnya lalu bunuh diri.” (Al-Bidayah Wan-Nihayah, Ibnu Katsir)

Marilah kita bersama ingatkan jiwa kita dengan peringatan-peringatan tersebut agar dalam bergerak, berjuang, dan berkorban (tadhhiyah) senantiasa ikhlas kerana Allah

KARENAH MANUSIA MENURUT AL-QURAN

“Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat sesudah mereka ditimpa sesuatu kesusahan,mereka dengan serta merta melakukan rancangan mereka menentang ayat-ayat keterangan Kami dengan mendustakannya dan mengingkarinya.Katakanlah (wahai Muhammad ):’Allah lebih cepat melakukan rancangan menentangnya!’Sesungguhnya malaikat-malaikat utusan Kami sentiasa menulis akan rancangan tipu daya kamu jalankan itu.”

Surah Yunus:21

Daripada ayat ini Allah SWT mengatakan bahawa apabila manusia berada dalam kesusahan,mereka akan meminta pertolongan daripad-Nya.Mereka akan berdoa kepada-Nya,solat hajat,membaca Yassin dan sebagainya supaya kesusahan yang mereka alami segera berlalu.Sepatutnya,apabila sudah kembali daripada kesusahan yang dialami,mereka akan terus mengingati Allah SWT dan bertaubat atas setiap kesalahan yang pernah dilakukan.Akan tetapi sebaliknya kerap kali mereka kembali melakukan kejahatan dan melupakan Allah SWT .Terdapat banyak tanda yang boleh dikesan kebenaran fakta ini melalui ayat-ayat Allah SWT.Allah SWT mengurniakan kepada mereka kekayaan,supaya dengan kekayaan yang mereka miliki itu boleh digunakan untuk melakukan lebih banyak kebaikan.Sebaliknya mereka menggunakan nikmat kekayaan yang mereka miliki itu untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang Allah SWT sudah tetapkan.Misalnya,mereka meninggalkan sembahyang,mereka berasuah serta menerima rasuah,mereka melakukan maksiat,bersikap sombong,berpoya-poya dan sebagainya.Mereka tidak menggunakan nikmat tersebut untuk kebaikan seperti bersedekah,zakat atau kepada perkara yang dinilai oleh Allah SWT di dunia dan akhirat.

“Dialah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai-bagai jenis kenderaan);sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angina yang baik dan mereka pun bersukacita dengannya,tiba-tiba datanglah kepadanya angin rebut yang kencang dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya;pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah SWT dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepada-Nya semata-mata(sambil merayu dengan berkata):’Demi sesungguhnya!Jika Engkau (ya Allah)selamatkan kami daripada bahaya ini kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur.”

Surah Yunus:22

Dalam ayat ini Allah SWT menyebut dengan panjang lebar tentang sifat manusia.Allah SWT menyatakan bahawa Dialah yang menggerakan manusia sama ada di daratan ataupun di lautan.Hakikatnya manusia tidak dapat berfikir bagaimanakah caranya mereka boleh berjalan di sungai dan juga di lautan.Tetapi Allah SWT menyediakan suatu kaedah yang menyebabkan terciptanya kapal,perahu dan juga pelampung.Kalau dipandang dari segi bentuk dan sifat,air ini boleh menenggelamkan apa-apa sahaja ke dasarnya tetapi kerana bijaksananya Allah,Dia menyediakan kaedah yang membolehkan kapal yang berat sekalipun boleh terapung di permukaannya.Inilah nikmatNya,akan tetapi apabila tiba-tiba,Allah SWT menguji,saksikan pula ikrar manusia melaui isyarat di hujung ayat di atas ini iaitu,’demi sesungguhnya!Jika Engkau (ya Allah)selamatkan kami daripada bahaya ini kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur.’Maka jika takdirnya Allah SWT lepaskan dia dari bahaya itu,apakah manusia pada lazimnya bersyukur atau bersifat sebaliknya?Jawapannya ada pada kita.

Di petik dari buku HIDAYAH

Penulis,Nik Abdul Aziz Nik Mat

4 Isu Semasa : Ulasan Ringkas

PERTAMA : ORANG BUKAN ISLAM MEMBACA AL-QURAN

Isu ini timbul dari kempen ceramah politik pakatan rakyat di pilihanraya Kecil Bukit Gantang, terdapat dua kelompok masyarakat Islam ketika mengamati peristiwa ini. Pertama : Yang tidak bersetuju serta menganggap ia sebagai penghinaan khususnya disebabkan kesilapan sebutannya dan nama surah. Kedua : yang tidak melihat sebagai satu kesalahan malah menganggapnya sebagai satu kelebihan buat Islam.

Setelah mendengar sendiri ucapan Yang Berhormat yang berkenaan di youtube, dan setelah meneliti hujjah kedua-dua kelompok, kami secara peribadi dan atas dasar ilmiah, tidak nampak sebarang masalah yang besar atau yang boleh dihebohkan.

Ia adalah kerana :-

1) Banyak dalil jelas menunjukkan bukan Islam turut membaca sama ada secara tertutup atau terbuka ayat-ayat al-quran di zaman Nabi sa.w. Malah ayat-ayat al-Quran digelar mu'jizat (sesuatu yang mencarik adat dan luar biasa serta melemahkan musuh), apabila ayat-ayatnya diteliti oleh ahli sastera kafir quraisy, tatkala itulah baru mereka mendapati Al-Quran adalah sebuah kalam Allah dan bukan hasil pemikiran manusia.

2) Nabi s.a.w turut menghantar surat yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran kepada pemimpin bukan Islam di zamannya. Tentunya ia dibaca dan sememangnya untuk diwarwarkan.

3) Ayat Al-Quran juga turut dibaca oleh Umar al-Khattab semasa beliau belum Islam. Akhirnya menjadikannya Islam.

4) Ayat yang dibaca bukan dalam intonasi dan situasi menghina tetapi adalah untuk menegaskan intipati keperluan kepada kesaksamaan dan keadilan dalam kehidupan. Benar, ia adalah satu penghormatan dan bukan penghinaan.

5) Kesalahan sebutan dan nama surah, adalah dimaafkan bagi mereka yang dalam pembelajaran, apatah lagi orang bukan Islam. Terlalu ramai umat Islam yang masih gagal membaca al-Quran dengan betul malah ramai juga yang langsung tidak mampu membacanya. Tun Dr Mahathir turut pernah menyebut nama surah dengan sebutan yang salah, ketika menyampaikan ceramah umum beliau di Nilam Puri pada tahun 1993, semasa beliau menghentam PAS yang ingin memperkenalkan hudud.



KEDUA : PENGGUNAAN NAMA ALLAH OLEH KRISTIAN


Isu ini turut menjadi hangat khususnya apabila terdapat beberapa pandangan diberikan oleh kumpulan ilmuan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujjah dan nas, demikian juga kumpulan kedua. Secara asasnya, ini adalah isu cabang dalam bab aqidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran, perbezaaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.

Dalil-dalil yang diutarakan oleh kedua-dua kumpulan, masih terdiri dari dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh sahaja akan merasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza. Juga tiada wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyama ratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.

Setelah melakukan penilaian terhadap pelabagai hujjah dan pandangan silam dan kontemporari. Secara asasnya, kami lebih cenderung kepada pendapat yang membenarkan penganut kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah :

Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88).

Ini hanya satu dalil sahaja, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandang SEPERTI mentafsirkan Allah dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH' dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi adalah tuhan pencipta secara umum.

Namun di dalam kaedah dalam fiqh, memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan. Khususnya masyarakat Jahiliyyah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, dan Allah telah difahami merujuk kepada siapa.

Cukuplah, kami tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini, hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan tersebut. Menurut penilaian dan pengamatan kami, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat dari hujah kumpulan yang menolak. Kami juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama Allah kepada pengertian lughah (dari sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan Allah secara istilah yang merujuk kepada Allah yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama Allah digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali penting untuk kita, kerana Bible bukan rujukan kita tetapi Al-Quran. Oleh itu, merujuk kepada bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah sama ada secara sedar atau tidak sedar. Umat Islam hanya merujuk Al-Quran dan Hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible. Apatah lagi Bible yang wujud hari ini bukannya injil yang diturunkan kepada Nabi Isa as.

TETAPI ..

Namun demikian, itu adalah dalam konteks penelitian dalil dan nas, atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, kami cenderung untuk BERSETUJU PENGHARAMAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan.

Selain itu, kami juga tidak setuju istilah lain seperti solat, kaabah digunakan oleh pihak Kristian.

Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian kami, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini. Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Ya, di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat.

Terutamanya apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu. Kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang dirasakan akan mempermainkan dan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa. Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, eloklah ia dilarang.

Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah. Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun dari sudut mudarat, ia wajar dilarang sama ada dalam tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang lemah.


KETIGA : ANAK KEKAL DALAM AGAMA ASAL

Berlaku lagi isu yang dianggap sensitif berkait isu agama, sebagaimana kes jenazah individu yang dipertikai sama ada telah menganuti Islam atau tidak semasa hayatnya.

Merujuk kepada laporan akhbar tempatan, keputusan kabinet Menteri memutuskan bahawa setiap ibu bapa yang menukar agamanya ke agama lain, anak-anak mereka yang dibawah umur tidak akan bertukar secara automatik, malah mereka akan kekal dalam agama asal sehinggalah mereka dewasa dan membuat keputusan sendiri selepas itu.

Pelbagai artikel ditulis dalam hal ini, kami tidak berhasrat untuk mengulang-ulang apa yang telah ditulis. Fatwa dari empat mazhab turut disertakan. Secara ringkasnya, majoriti mazhab berpandangan anak akan menjadi Islam secara automatik sama ada ayah atau ibunya menganuti Islam. Manakala mazhab Maliki pula hanya meletakkan kemasukkan Islam secara automatik itu hanya berlaku jika si ayah yang menganuti Islam. Justeru itu, menurut pandangan keempat-empat mazhab, kes yang berlaku di Malaysia ini, anak turut automatik menjadi Islam.

Bagi yang berminat membaca lanjut boleh merujuk di link berikut .

PKPIM juga ada mengeluarkan kenyataan yang baik, disamping menyertakan beberapa kes lama yang boleh dijadikan panduan dalam menetapkan sikap terhadap kes terbaru ini, iaitu :-

"Berdasarkan kes Subashini Rajasingam lwn Saravanan Thangathoray, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa si bapa mempunyai autoriti dan kuasa untuk mengislamkan anak berlandaskan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan walaupun tanpa persetujuan ibu.

"Sementara itu, Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa agama bagi seseorang yang di bawah umur 18 tahun perlu ditentukan oleh ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga.

"Manakala Seksyen 95 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 telah memperuntukkan bahawa seorang anak yang berumur 18 tahun ke bawah boleh memeluk agama Islam sekiranya ibu-bapa (salah seorang) atau penjaga anak tersebut memberi keizinan,"

Secara kesimpulan, sudah tentu kami cenderung kepada pendapat majoriti yang menganggap secara automatik anak-anak menjadi Islam. Namun demikian adalah lebih tepat dan hikmah jika si suami dapat mengambil keputusan bijak mengelakkan isu ini dibawa ke mahkamah dan berusaha sedaya mampu mengajak isterinya tuurt serta menganuti islam sebagai cara hidup mereka. Dapatkan bantuan bijak pandai antara agama jika perlu.

Selain itu amat wajar untuk pihak berkuasa merujuk Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum melakukan sebarang kenyataan umum berkait isu Islam. kami bersetuju dengan pendapat Mufti Perak bahawa isu ini memerlukan perbincangan Majlis Fatwa Kebangsaan,

Namun masalah yang paling ketara jika dirujuk ke Majlis Fatwa adalah tidak pasti bilakah mereka mampu memberi respond dan jawapan. Wallahu'alam.

HAKIKAT FITRAH MANUSIA DALAM PSIKOLOGI ISLAM

Fitrah diungkapkan dalam al-Quran sebanyak 20 kali,antara ayat yang memuatkan perkataan fitrah ialah dari surah al-Rum ayat 30,yang bermaksud,

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama(Allah);(tetaplah atas)fitrah Allah SWT yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.Tidak ada perubahan pada fitrah Allah SWT.(Itulah)agama yang lurus:tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”

Dalam literatur Islam,istilah fitrah memiliki makna yang sangat pelbagai,hal ini adalah disebabkan oleh pemilihan dari sudut makna.Dari segi makna nasabi(relational meaning) diambil dari beberapa ayat dan hadith Nabi di mana kata fitrah itu berada.Ini kerana masing-masing ayat dan hadith memiliki konteks makna fitrah yang berbeza-beza.Antaranya ialah;

Pertama,fitrah bererti suci(al-thuhr).Menurut al-Awzaiy,fitrah memiliki makna kesucian.Makna ini disokong oleh hadith Nabi yang bermaksud,”Setiap anak tidak dilahirkan kecuali dalam keadaan fitrah(suci).Maka kedua orang tuanya yang menjadikannya Yuhudi,Nasrani,Majusi atau Musyrik.”(HR.al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Kedua,fitrah bererti potensi untuk beragama Islam.Makna ini dikemukakan oleh Abu Hurairah bahawa fitrah bererti beragama Islam.Makna tersebut menunjukan bahawa tujuan penciptaan manusia adalah penyerahan kepada yang Mutlak(ber-Islam).Tanpa ber-Islam bererti kehidupannya telah berpaling dari fitrah asalnya.

Ketiga,fitrah bererti mengakui keesaan Allah SWT(mentauhidkan Allah).Manusia lahir dengan membawa potensi tauhid,atau paling tidak,ia berkecenderungan untuk mengesakan Tuhan,dan berusaha secara terus menerus untuk mencari dan mencapai ketauhidan tersebut.

Keempat,fitrah bererti keadaan selamat(al-salamah)dan al-istiqamah.Makna ini dikemukakan oleh Abu Umar ibn ‘Abd al-Bar.Hadith qudsi menyatakan;”Sesungguhnya Aku(Allah)menciptakan hamba-hamba-Ku dalam keadaan hanif(selamat).Maka syaitanlah yang menarik kepada keburukan.” (HR.Ahmad ibn Hambal dari ‘Iyadh ibn Humair).

Kelima,fitrah bererti perasaan yang tulus(al-ikhlas).Manusia lahir dengan membawa sifat yang baik.Diantara sifat itu ialah ketulusan dan kemurniaan dalam melakukan kegiatan.Makna tulus ini merupakan fitrah manusia yang harus berpotensi Islam dan tauhid.Sebab dalam ber-Islam bererti seseorang telah menghambakan diri kepada Zat yang mutlak,iaitu Allah SWT,dan menghilangkan segala dominasi sesuatu yang temporal dan nisbi.

Keenam,fitrah bererti kesanggupan untuk menerima kebenaran.Secara fitrahnya manusia lahir dan cenderung dalam berusaha mencari kebenaran dan menerima kebenaran,walaupun pencarian tersebut masih tersembunyi di dalam lubuk hati yang paling dalam.Adakalanya manusia telah menemui kebenaran tersebut tetapi kerana terdapat faktor lain yang mempengaruhinya,maka ia berpaling dari kebenaran tersebut.Firaun semasa hidupnya enggan mengakui kebenaran(Allah),tetapi mulai tenggelam dan ajalnya sudah diambang kematian,ia mengakui adanya kebenaran tersebut.(QS.Yunus:90)

Ketujuh,fitrah bererti potensi dasar manusia atau perasaan untuk beribadat dan makrifat kepada Allah SWT.Dalam makna ini,perbuatan manusia merupakan tali ukur kepada pemaknaan fitrah.Mnusia diperintahkan untuk beribadat agar dia dapat mengenal Allah SWT.Pengenalan itu merujuk kepada pemaknaan fitrah.Hal ini disebabkan bahawa fitrah merupakan watak asal manusia,sedangkan watak itu terlihat melalui kegiatan tertentu,iaitu ibadat.Ibadat merupakan bentuk analisis diri yang suci dan tertinggi.

Seterusnya,fitrah bererti sifat-sifat Allah SWT,yang ditiupkan pada setiap manusia sebelum dilahirkan.Bentuk-bentuknya ialah asmaal-husna yang dalam al-Quran berjumlah 99 nama-nama yang indah(QS.al-Hijr:29).Tugas manusia ialah menghidupkan fitrah asmaal-Husna itu sebaik-baiknya,dengan cara menukarkan sifat-sifat itu ke dalam keperibadiannya.

Kesimpulannya,fitrah manusia boleh didefinasikan kepada banyak makna,namun begitu,jika diperhatikan kepada keseluruhan makna ia menunjukkan bahawa fitrah manusia adalah merujuk ke arah kebenaran dan ingin dekat dengan pencipta iaitu Allah SWT.

(RUJUKAN:PSIKOLOGI ISLAM,PENULIS:ABDUL MUJIB,M.Ag.JUSUF MUDZAKIR,M.Si)

Wednesday, August 26, 2009

Gejala Nevermind Dalam Masyarakat

Sabda Rasulullah s.a.w:
‘Sesiapa yang tidak mengambil tahu tentang keadaan orang islam sesamanya,maka dia bukanlah sebahagian dari kami…’
(Hadis ini adalah hadis dhoif/lemah tetapi ia masih sebuah hadis & boleh digunakan untuk beramal/menggalakkan amal. Ia tidak boleh digunakan untuk berhujjah.)

Nevermind
yang mungkin boleh dianggap sebagai virus yang membahayakan semakin menular dikalangan umat islam masa kini. Virus ini seharusnya dihentikan penebarannya secara drastik dengan menggunakan anti virus the latest version oleh pakar-pakar yang bernama umat islam itu sendiri. Jika pemikiran spesis bervirus begini tidak dihapuskan dari program minda umat islam,ia mungkin akan menghapuskan sensitivity umat islam itu sendiri terhadap sesama muslim. Lalu akan lahirlah umat islam yang dipijak-pijak seperti sekarang ini. Tiada langsung sifat hormat golongan kafir terhadap kita. Semoga Allah memberi hidayah kepada mereka.

Apabila dikatakan nevermind, kita seolah-olah tidak kisah akan apa yang mungkin terjadi kepada umat islam pada masa kini dan masa akan datang. Apa yang dapat kita lihat ialah,semakin berkurangnya umat islam yang mengamalkan amar ma’ruf nahi mungkar.

Saya terpanggil untuk menulis tentang isu ini apabila saya mendengar satu wawancara antara juruhebah dan seorang jemputan di siaran radio ikim.fm sebentar tadi. Apa yang dapat saya lihat atau mungkin lebih tepat saya dengar,isu ini
memang amat relevan sekali untuk dibincangkan. Buktinya,sejauh manakah kita berusaha untuk menegur jiran-jiran kita yang mungkin telah tersasar jauh dari landasan agama? Contoh yang lebih dekat lagi ialah adik beradik kita dan saudara mara kita sendiri. Jika kita berusaha untuk melakukannya, alhamdulillah, kerana kitalah insan bertuah yang diberi kekuatan oleh Allah. Namun bagi yang belum pernah berusaha, perlu muhasabah diri. Bila lagi kita akan melaksanakan tanggungjawab dakwah ini?

Kita sebenarnya belum berada ditengah-tengah keadaan sebenar masyarakat yang huru-hara seperti pejuang-pejuang yang terdahulu. Contohnya pada zaman Imam Hassan Al-Banna, Syed Qutb dan lain-lain lagi. Jangan cepat berasa ujub jika berjaya berdakwah hanya dua tiga orang sahaja sedangkan beribu-ribu lagi sedang menunggu.Teruska usaha!! Jika kita pergi ke kompleks membeli-belah,apa yang dapat kita lihat ialah ragam-ragam anak muda dgn budaya-budaya songsang yang mungkin dapat saya katakan sebagai keterlaluan dalam berpakaian dan akhlak. "Tidak ada ibu bapakah mereka?"

Kadang-kadang pening juga kalau nak fikir tentang hal begini. Ya! Mungkin kita bukan orang besar untuk memikirkan keadaan ummah yang semakin hari semakin teruk. Tapi ingatlah bahawa diakhirat nanti segalanya akan dipertanggungjawabkan tentang perbuatan yang dilakukan di dunia ini. Setiap manusia itu pemimpin dan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya. Kita juga yang akan ditarik oleh mereka yang tidak kita tegur semasa di dunia ini dan mengatakan bahawa kita tidak berusaha untuk membantu mereka yang telah tersasar.


pelbagai gambar menarik. KLIK SINI

Sabda Rasulullah s.a.w :
Daripada Abu Sa'id al-Khudrie r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa di kalangan kamu melihat suatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengantangannya. Sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan lidahnya. Sekiranyadia tidak mampu maka hendaklah dia mengubahnya dengan hatinya. Yang sedemikian itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Muslim)

Bila terfikirkan kembali kehidupan bersama rakan-rakan yang belum berjaya lagi didakwah,terasa diri amat naif. Atas dasar sayang dan ingin membantu, mereka diberi nasihat walaupun diri sendiri belum betul sepenuhnya. WAlaupun kadangkala mereka tidak endahkan kita tetapi hati ini terubat apabila teringatkan Firman Allah yang berbunyi.. ‘ Innaka la yahdi man ahbabta…walakinnallaha tahdi man yasha’…. Sesungguhnya bukan kamu yang memberikan hidayah kepada orang yang kamu sayang tetapi Allah-lah yang memberi hidaya kepada orang yang Dia kehendaki.

Walaubagaimanapun,etika dalam menegur orang dalam setiap keadaan perlu diambil kira juga. Islam menggariskan pelbagai garis panduan didalam keadaan ini. contohnya, tegurlah mereka dengan ‘ bil hikmah wal mau izatul hasanah'. Tegurlah mereka dengan niat yang ikhlas dan bukan kerana nak tunjuk pandai seolah-olah diri sendiri ahli syurga. Tiada istilah siapa pandai dalam diri insan kerana setiap manusia itu bersifat ‘nasia’ yakni pelupa. Jadi ingat-mengingatilah antara satu sama lain. Ibu bapa tegurlah anak mereka, ketua sesama anak buah dan sebaliknya,sahabat sesama sahabat,akhawat sesama akhawat dan ikhwan sesama ikhwan. Insyaallah akan diberi lipatan ganjaran pahala oleh Allah.

Salam mujahadahhhhh...!!!

Cinta Dan Rindu



Berbicara tentang rindu dan cinta, tidak dapat lari daripada soal hati dan rasa. Ya, rindu dan cinta letaknya di hati - raja dalam kerajaan diri manusia.

Sabda Rasulullah saw: "Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah daging itu ialah hati." Riwayat Al-Bukhari

Ini bermakna, rindu dan cinta yang harus bersemi di hati mestilah rindu dan cinta yang ‘baik'. Barulah hati akan menjadi baik, dan seluruh anggota jadi baik. Tapi jika rindu dan cinta itu ‘jahat' maka jahatlah hati. Akibatnya jahatlah seluruh anggota. Kata orang, "berhati-hatilah menjaga hati." Jangan dibiarkan hati itu penuh dengan rindu dan cinta yang salah... akibatnya terlalu buruk.

Umpama menyerahkan kepimpinan negara kepada seorang yang jahat. Kita tentu tahu apa akibatnya bukan? Pemimpin yang jahat akan melakukan kemungkaran, penzaliman, rasuah dan lain-lain kejahatan yang akan menghancurkan sebuah negara. Maka begitulah hati yang jahat, akan menyebabkan seluruh diri kita terarah kepada kejahatan. Jadi, berhati-hatilah menjaga hati dengan berhati-hati memberi cinta dan rindu.

Sebenarnya, pada siapa kita harus cinta? Pada siapa kita mesti rindu? Mungkin ada diantara kita yang tertanya-tanya. Pada kekasih hati? Atau si dia yang sentiasa diingati. Oh, bukan, bukan... Sebenarnya hati setiap manusia secara fitrahnya mencintai dan merindui Allah. Kenapa dikatakan begitu? Dan benarkah begitu? Baiklah, mari kita fikirkan dan renungkan bersama...

Setiap hati inginkan kasih-sayang, keadilan, kekayaan, keindahan dan lain-lain sifat yang mulia, baik dan sempurna. Tidak ada seorang manusiapun yang tidak inginkan kebaikan, kemuliaan dan kesempurnaan. Ketika dilanda kemiskinan, manusia inginkan kekayaan. Ketika dipinggirkan, kita inginkan kasih-sayang. Ketika dizalimi, kita inginkan keadilan. Baiklah, hakikat itulah bukti yang sebenarnya manusia cinta dan rindukan Tuhan. Justeru, Tuhan sahaja yang memiliki segala-gala yang diingini oleh manusia.

Bukankah Allah memiliki kekayaan yang diingini oleh si miskin? Allah mempunyai kasih sayang yang diidamkan oleh mereka yang terpinggir. Allah Maha Adil dan mampu memberi keadilan yang didambakan oleh yang tertindas. Oleh kerana itulah Tuhan mempunyai nama-nama yang baik (Asmaul Husna), yang menggambarkan keindahan, keadilan, kasih-sayang yang segala sifat kesempurnaan-Nya. Diantara nama-nama Allah itu ialah Al Adil (Yang Maha Adil)? Al Ghani (Maha Kaya)? Ar Rahman (Maha Pengasih)? Dan Ar Rahim (Maha Penyayang)?

Sebutlah... apa sahaja keinginan manusia tentang kebaikan dan kesempurnaan, maka di situ sebenarnya (secara langsung ataupun tidak), manusia sedang merindui dan mencintai Allah. Inilah rasa yang tidak dapat dihapuskan. Selagi manusia punya hati dan perasaan. Rasa bertuhan inilah yang menurut Imam Ghazali, tidak akan dapat dinafikan oleh hati sekalipun kerap dinafikan oleh sifat keegoan manusia.

Inilah benih rindu dan cinta yang telah dibina (‘install') secara fitrah (tabie) dalam diri setiap manusia sejak di alam roh lagi.

Firman Allah: "Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi." Al-A'raf : 172

Bahkan, pakar-pakar psikologi manusia juga turut mengakui. Manusia sebenarnya mempunyai keinginan kepada suatu kuasa yang dapat mengatasi segala kekurangan dan kelemahan. Ini memang satu naluri yang semulajadi.

Prof Dr Ramachandran dari California University misalnya, telah menemui ‘Titik Tuhan' - ‘God Spot' dalam sistem otak manusia yang sentiasa mencari makna kehidupan - asal-usulnya, apa maksud kedatangannya ke dunia, dan ke mana akan pergi selepas mati. Dan di hujung semua persoalan itu pasti manusia akan menemui kewujudan Tuhan. Inilah hakikatnya pencarian dan kembara manusia. Inilah asas segala kerinduan dan cinta!

Jadi sedarlah. Apabila hati kita resah dan gelisah inginkan pembelaan, hakikatnya pada ketika itu hati kita sedang merindui yang Maha Adil. Ketika kasih-sayang terputus atau cinta terkandas, kita inginkan sambungan... maka ketika itu sebenarnya kita sedang merindui Ar Rahman dan Ar Rahim (Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang). Ketika bersalah, kita merintih inginkan keampunan dan kemaafan, maka pada saat itu kita sebenarnya merindui Al Ghafar (Pengampun) dan mencintai Al Latif (Maha Lembut).

Semua keinginan itu hanya akan dapat dipenuhi apabila manusia merapatkan dirinya kepada Allah. Allah yang punya segala-galanya itu. Allah sentiasa mahu dan mampu memberi apa yang diinginkan oleh setiap manusia.

Firman Allah: "Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan perkenankan. Sesungguhnya orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan dimasukkan neraka Jahanam dalam keadaan hina." Al-Mukmin : 60

Menerusi nama-nama Allah yang baik inilah seharusnya kita merintih, merayu dan memohon kepada Allah.

Firman Allah: "Allah memiliki Asmaa' ulHusna, maka memohonlah kepadaNya dengan menyebut nama-nama yang baik itu..." Al A'raaf : 180

Manusia hakikatnya tidak punya apa-apa yang diingini oleh manusia lain. Mereka mungkin mahu memberi, tetapi tidak mampu. Ada pula yang mampu memberi tetapi tidak mahu melakukannya. Mungkin hartawan punya harta, tetapi dia tidak punya sifat pemurah. Mugkin ada si miskin punya hati yang pemurah, tetapi tidak memiliki harta yang dipinta oleh si miskin yang lain. Tegasnya, manusia tidak sempurna. Hanya Tuhan yang mempunyai segala apa yang diinginkan oleh seluruh manusia.

Ya, ditegaskan sekali lagi bahawa keinginan manusia kepada satu kuasa yang Maha sempurna ini adalah lanjutan daripada ‘perkenalan' dan ‘percintaan' manusia dengan Allah di Alam Roh lagi (yakni alam sebelum alam dunia ini) . Bukankah sejak di alam roh lagi manusia telah mengetahui dan mengakui akan kewujudan dan keagungan Allah.

Firman Allah: "Bukankah aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab: ‘Benar, kami (Engkaulah Tuhan kami) menjadi saksi." Al-A'raf : 172

Itulah pertanyaan Allah sekaligus keakuran roh manusia atas pertanyaan itu. Ya, ketika itu semua roh manusia telah mengenali Allah. Bukan itu sahaja, bahkan roh manusia telah mengakui Allah sebagai pemilik, pentadbir dan pengatur alam ini. Inilah yang dimaksudkan cintakan Allah itu adalah fitrah setiap hati. Tetapi soalnya, mampukah cinta itu terus suci dan abadi di dalam hati setiap manusia?

Sungguhpun begitu, perkenalan dan percintaan manusia dengan Allah di alam roh itu kerap tercemar. Sebaik sahaja lahir ke alam dunia, manusia yang dulunya begitu mengenali dan mencintai Allah mula dipisahkan daripada kecintaan dan kerinduannya itu. Yang sejati luntur, yang ilusi muncul. Perkenalan dengan Allah mula dicemari. Manusia mula dipisahkan dari Tuhan. Dan amat malang, kerapkali yang memisahkan anak-anak daripada Allah ialah ibu-bapa anak-anak itu sendiri.

"Setiap anak-anak dilahirkan putih bersih, kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Majusi atau Nasrani."

Justeru, untuk mengelakkan agar cinta yang suci itu tidak terus dikotori... maka awal-awal lagi apabila seorang bayi dilahirkan, dia terlebih dahulu diazankan dan diiqamatkan. Inilah usaha awal untuk meneruskan perkenalan bayi itu dengan Allah. Tidak cukup sekadar itu sahaja, malah para ibu-bapa juga wajib mengenalkan kepada anak-anak mereka segala sifat kesempurnaan Allah secara mudah tetapi konsisten.

Sabda Rasululah: "Awal-awal agama ialah mengenal Allah."

Alangkah indahnya jika semua itu berjalan lancar. Sejak kecil lagi putik cinta dan rindu Allah itu tumbuh, berbunga dan akhirnya berbuah apabila menjelang dewasa. Malangnya, ramai anak tidak diperkenalkan kepada Allah oleh ibu-bapanya. Sebaliknya, didedahkan kepada unsur-unsur yang melindungi kebesaran Allah. Seringkali, didikan, ajaran, malah lagu, filem, bahan bacaan yang didedahkan kepada anak-anak menggugat perkenalannya dengan Allah.

Akibatnya, kerinduan dan kecintaan yang sedia ada di alam roh itu tidak bersambung, bahkan tercemar. Cinta terputus di tengah jalan. Setiap manusia memiliki hanya satu hati, tidak dua, tidak tiga. Bila cinta Allah dicemari, cinta yang lain datang mengganti. Dua cinta tidak akan berkumpul di dalam satu hati. Hanya satu cinta akan bertakhta di dalam satu jiwa. Bila cinta Allah terpinggir maka terpinggir jugalah segala kebaikan dan kesuciannya. Maka yang tumbuh selepas itu ialah cinta selain Allah seiring suburnya segala kejahatan dan kekejiannya!

Bagaimanakah caranyanya membersihkan semula hati yang telah dicemari dan diracuni? Cukupkah hanya dengan ucapan dan penyesalan? Ya, usaha untuk membersihkan hati adalah usaha yang sukar. Tetapi hanya itulah satu-satunya jalan. Tidak ada jalan mudah untuk mendapat cinta itu semula. Setiap cinta menagih pengorbanan. Begitulah jua cinta Allah.

Sabda Rasulullah: "Iman itu bukanlah angan-angan, bukan pula ucapan, tetapi sesuatu yang menetap di dalam dada, lalu dibuktikan dengan perbuatan."

Perjuangan itu pahit, kerana syurga itu manis. Kecintaan kepada Allah terlalu mahal. Bayangkan untuk mendapat cinta seorang wanita yang rupawan, jejaka yang hartawan, putera yang bangsawan, itupun sudah terlalu sukar, maka apatah lagi untuk mendapat cinta Allah zat yang Maha Agung dan Maha Sempurna itu.

Siapa tidak inginkan kecantikan, harta, nama dan kuasa? Semua itu mahal harganya. Namun semua itu tidak ada nilainya jika dibandingkan dengan cinta Allah - sumber segala kekayaan, kecantikan, kuasa dan keagungan. Cintakan gadis yang cantik, kecantikan akan luntur. Cintakan harta yang banyak, harta akan musnah atau ditinggalkan. Cinta pada kuasa, suatu hari pasti dijatuhkan atau berakhir dengan kematian.

Namun cinta Allah, adalah cinta yang hakiki, sejati dan abadi. Keindahan Pencipta (Khalik) tidak akan dapat ditandingi oleh ciptaannya (makhluk). Keagungan, kekuasaan dan kekayaan Allah akan kekal abadi selamanya. Bila kekasih di kalangan manusia sudah berpaling, maka sedarilah bahawa Allah tetap melihat dengan pandangan rahmat-Nya. Apabila kita mencintai Allah, kita hakikatnya akan memiliki segala-galanya. Inilah cinta yang tidak akan terpisah oleh kejauhan, kematian dan kemiskinan. Sebaliknya bila kita kehilangan cinta Allah, kita sebenarnya telah kehilangan segala-galanya.

Sekiranya kita telah disukai oleh seorang raja, maka anda akan turut disukai oleh pelayan-pelayannya, dikurniakan pangkat, dijamin makan-minum, bebas di bergerak di istananya dan macam-macam lagi kurniaannya. Maka begitulah sekiranya seorang yang mencintai Allah. Para malaikat akan menjaganya. Orang-orang soleh turut mendoakannya. Rezkinya akan dipenuhi dengan segala kecukupan dan keberkatan. Apa nak dihairankan? Bukankah ‘talian hayat' kekasih-kekasih Allah ini sentiasa terhubung kepada satu kuasa yang tiada tolok bandingnya!

Hadis Qudsi: Allah swt berfirman: "Aku menurut sangkaan hamba kepada-Ku, dan Aku bersamanya apabila dia ingat kepada-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dan dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diri-Ku. Jika dia ingat kepada-Ku dalam kelompok orang-orang yang lebih baik dari kelompok mereka. Jika dia mendekat kepada-Ku sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepada-Ku sehasta maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepada-Ku dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil. (Sahih Bukhari)

Namun begitu, seperti yang ditegaskan sebelumnya, cinta Allah yang begitu agung dan suci, pasti ada tagihannya. Jalan mencintai Allah tidak semudah yang disangkakan. Sudah adat, setiap yang mahal, sukar mendapatkannya. Bandingannya seperti pasir dengan permata. Pasir, murah harganya... kerana ia boleh dicari di merata-rata. Sebaliknya, permata begitu tinggi nilainya, maka perlu menyelam ke dasar lautan untuk mendapatkannya.

Tidak ada kesukaran, tidak ada ganjaran. Begitulah jua dengan cinta Allah yang hakikatnya jauh lebih tinggi nilainya daripada intan atau permata. Justeru, pasti ada ‘harga' atau mahar yang mahal terpaksa dibayar untuk mendapatkannya.

Untuk mendapat cinta Allah kita perlu berkorban. Cinta dan pengorbanan sudah sinonim dan tidak sekali-kali dapat dipisahkan. Kita perlu membayar harga cinta itu dengan segala yang ada pada kita - masa, tenaga, harta bahkan nyawa. Namun apa yang lebih penting bukanlah masa, tenaga atau sesuatu yang berbentuk lahiriah. Itu cuma lambang sahaja. Yang lebih penting ialah hati di sebalik pengorbanan itu.

Lihat sahaja hati yang dimiliki oleh Habil berbanding Qabil dalam pengorbanannya untuk Allah. Hati yang bersih akan mengorbankan sesuatu yang terbaik untuk Allah. Lalu kerana ketulusan hatinya, Habil mengorbankan hasil ternakannya yang terbaik untuk Allah. Manakala Qabil pula menyerahkan hasil pertanian yang kurang bermutu untuk membuktikan cintanya yang tidak seberapa. Lalu ini menjadi sebab, Allah menolak pengorbanan Qabil, sebaliknya menerima pengorbanan Habil.

Kita bagaimana? Sudahkah kita mengorbankan segala yang terbaik hasil dorongan hati yang baik? Ke manakah kita luangkan masa, usia, tenaga, harta kita yang terbaik? Untuk kebaikan yang disuruh oleh Allah atau ke arah kejahatan yang dilarang-Nya? Tepuk dada tanyalah hati, apakah ada cinta yang mendalam di dalam hati itu?

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH tidak melihat gambaran lahir amalan kamu dan rupa kamu tapi ALLAH melihat hati kamu". Riwayat Muslim

Pengabdian kita kepada Tuhan adalah bukti cinta kepada-nya. Pepatah Arab mengatakan:
"Setiap orang menjadi hamba kepada apa yang dicintanya."

Maksudnya, pengabdian adalah umpama ‘hadiah' yang kita ingin berikan kepada Allah sebagai bukti cinta kita. Ia mesti didorong oleh hati yang bersih. Tidak dicemari riyak dan syirik. Maha suci Allah daripada dipersekutukan oleh hamba-Nya dengan sesuatu. Jika amal itu dicemari oleh kekotoran hati - riyak (syirik kecil), sifat menunjuk-nunjuk, syirik besar - mempersekutukan Allah) maka amalan itu tidak bernilai walaupun ia seluas lautan atau setinggi gunung.

Sebaliknya, jika hati seseorang itu ikhlas, amalnya yang sekecil manapun akan menjadi besar dan bernilai di sisi Allah. Insya-Allah, ‘hadiah' itu akan diterima oleh Allah.

Firman Allah: "Barang siapa yang ingin menemui Tuhannya, hendaklah dia beramal soleh dan tidak mempersekutukan Allah dengan amalannya itu." Surah Al-Kahfi: 110

Hakikatnya Allah Maha Kaya dan DIA tidak mengkehendaki apa jua manfaat daripada hamba-hamba-Nya sekalipun amalan dan kebaikan yang mereka lakukan. Maha Suci Allah daripada bersifat miskin - punya keinginan untuk mendapat manfaat daripada para hamba-Nya. Amalan dan kebaikan yang dilakukan oleh manusia bukan untuk Allah tetapi manfaat itu kembali kepada manusia semula.

Bila kita solat misalnya, solat itu manfaatnya akan dirasai oleh kita juga. Firman Allah:
"Sesungguhnya sembahyang itu akan mencegah daripada kemungkaran dan kejahatan." Surah Al-Ankabut: 45

Ya, solat akan menyebabkan kita terhalang daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Itulah manfaat solat. Itu amat berguna kepada diri manusia. Manusia yang baik akan dikasihi oleh manusia lain. Hidup yang selamat daripada kemungkaran dan kejahatan, adalah hidup yang tenang, aman dan bahagia.

Begitu juga apabila Allah menyuruh kita melakukan sesuatu atau melarang kita melakukannya, itu adalah kerana Allah ingin berikan kebaikan kepada kita bukan untuk-Nya. Inilah rasionalnya di sebalik pengharaman riba, arak, zina, pergaulan bebas, pendedahan aurat dan lain-lain. Susah atau senangnya untuk manusia bukan untuk Allah. Tegasnya, jika patuh, manfaatnya untuk manusia. Jika engkar, mudaratnya juga untuk manusia.

Namun, walau sesukar mana sekalipun kita berusaha menghampirkan diri kepada Allah, kita akan merasa mudah jika Allah sendiri memberi bantuan-Nya. Jika Allah sudah permudahkan, walaupun seberat mana sekalipun, kita akan mampu mengatasinya. Allah akan permudahkan kita dengan mengurniakan sifat sabar, istiqamah, syukur dan redha kepada-Nya. Lihatlah sejarah perjuangan para Rasul dan nabi serta sahabat-sahabat Rasulullah... kita akan tertanya-tanya mengapa mereka sanggup menderita, tersiksa bahkan terkorban nyawa untuk mendapat cinta Allah?

Renungilah betapa Sumayyah rela mengorbankan nyawanya. Begitu juga Mus'ab bin Umair, Hanzalah, Jaafar bin Abi Talib, Abdullah ibnu Rawahah... mereka semuanya telah syahid di jalan Allah. Apakah itu susah buat mereka? Mereka sangat menghayati apa yang pernah disabdakan oleh Rasulullah SAW:

"Jagalah Allah, nescaya engkau akan temukan DIA di hadapanmu. Kenalilah Allah ketika dalam keadaan lapang nescaya DIA akan mengenalmu dalam keadaan sempit. Ketahuilah segala sesuatu yang luput daripadamu tidak akan menimpamu dan sesuatu yang menimpamu tidak akan dapat luput darimu. Ketahuilah bahawa kemenangan itu menyertai kesabaran, kelapangan itu menyertai kesempitan dan kemudahan itu menyertai kesukaran." Riwayat Ahmad, Hakim, Thabrani, Ibnu Sunni, Ajiri dan Dhiya'agal

Mereka sesungguhnya merasa bahagia dalam mengharungi penderitaan, merasa mulia dengan mengorbankan nyawa. Ini semua mudah buat mereka kerana Allah telah melembutkan hati-hati mereka. Benarlah bila hendak seribu daya, bila mahu sejuta cara. Kemahuan dan keinginan mereka itu hakikat didorong oleh Allah. Untuk itu, mintalah simpati dari Allah untuk memudahkan kita mendekatkan diri kepada-Nya.

Bagaimana memohon simpati daripada Allah? Tidak lain dengan cara berdoa kepada-Nya. Doa itu adalah senjata orang mukmin. Maksudnya, doa ialah alat atau ubat yang paling mustajab dan mujarab untuk mendapat hati yang lunak dengan Allah. Namun harus diingat, doa bukanlah usaha ‘pemberitahuan' kehendak-kehendak kita kepada Allah ( kerana tanpa diberitahupun Allah sedia mengetahui), namun doa hakikatnya usaha ‘penyerahan' diri kita kepada-Nya.

Orang yang berdoa ialah orang yang mengakui segala sifat kehambaannya di hadapan kekuasaan Allah. Apakah sifat-sifat kehambaan itu? Antaranya, rasa lemah, hina, jahil, miskin, berdosa, hodoh dan segala sifat-sifat kekurangan. Berdoa ertinya kita menyerah pasrah kepada Allah. Kita nafikan segala kelebihan diri. Yang kita akui hanya sifat keagungan dan kebesaran Allah. Lalu kita inginkan hanya bantuan-Nya. Kita tagihkan simpati, kasihan dan keampunan-Nya sahaja.

Hanya dengan mengaku lemah di hadapan Allah kita akan memperolehi kekuatan. Hanya dengan mengaku miskin di hadapan Allah kita akan dikayaka-Nya. Tegasnya, hanya dengan merasai segala sifat kehambaan barulah kita akan mendapat kekuatan, kemuliaan dan kelebihan dalam mengharungi hidup yang penuh cabaran ini.

Bila Allah telah hadiahkan kasih dan rindu-Nya kepada kita, kita akan merasa kebahagiaan dan ketenangan yang tiada taranya lagi. Dalam apa jua keadaan kita akan mendapat ketenagan. Susah, kita sabar. Senang, kita syukur. Kita bersalah, mudah meminta maaf. Jika orang meminta maaf, kita sedia dan rela pula memaafkan. Alangkah bahagianya punya keikhlasan hati yang sebegini?

Itulah hakikatnya syukur - pada lidah, hati dan amalan. Syukur dengan lidah, mengucapkan tahmid (pujian) kepada Allah. Syukur dengan hati, merasakan segala nikmat hakikatnya daripada Allah bukan daripada usaha atau ikhktiar diri kita. Tadbir kita tidak punya apa-apa kesan berbanding takdir Allah. Dan akhirnya syukur dengan tindakan, yakni menggunakan segala nikmat daripada Allah selaras dengan tujuan Allah mengurniakan nikmat itu.

Jika Allah berikan harta, kita gunakan ke arah kebaikan dan kebajikan. Jika diberi ilmu, kita mengajar orang lain. Diberi kuasa, kita memimpin dengan adil dan saksama! Syukur itulah tujuan utama kita dikurniakan nikmat. Ertinya, kita kembalikan nikmat kepada yang Empunya nikmat (Allah).